Astro Awani: Selangor kenal pasti 97 hotspot banjir
PELABUHAN KLANG: Kerajaan Selangor mengenal pasti 97 lokasi 'hotspot' banjir di negeri ini berikutan fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata lokasi hotspot berkenaan meliputi 23 lokasi di Klang, Sepang (19), Hulu Langat (19), Gombak (13), Petaling (11), Kuala Langat (lima), Kuala Selangor (empat), Sabak Bernam (dua) dan Hulu Selangor (satu).
Beliau berkata pihaknya menerusi Unit Pengurusan Bencana Selangor kini berada dalam tahap kesiapsiagaan paling tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Unit bencana negeri juga sentiasa mendapatkan maklum balas daripada agensi berkaitan (banjir). Peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini pula, semua telah bersiap sedia.
"Tahap kesediaan kita kali ini lebih baik daripada sebelum ini dan yakin dapat atasinya. Kami juga akan buat pemantauan di kawasan berdekatan," katanya selepas merasmikan program Latih Amal Ops Ex-Ganjar 2023 di sini hari ini.
Mengenai program latihan amal tersebut, Mohd Najwan berkata simulasi dua hari melibatkan kerjasama Majlis Keselamatan Negera (MKN) Selangor, Lembaga Pelabuhan Klang, Northport dan Westports itu sebagai persediaan menghadapi sebarang isu keselamatan di kawasan berkenaan.
"Ia dapat melatih anggota keselamatan terutama polis dan tentera berdepan situasi kecemasan, selain menguji kesiapsiagaan mereka. Kita nak pastikan semua bersiap sedia dengan sebarang ancaman.
"Setakat ini kita tidak berdepan dengan kejadian seperti itu, cuma bersiap sedia. Selangor perlu persediaan kerana kita kawasan startegik ekonomi dan menjadi pintu masuk negara menerusi pelabuhan serta lapangan terbang," katanya.
-- BERNAMA