Astro Awani: Pengeluaran KWSP: 'Ada yang hanya berbelanja 68 sen sehari selepas bersara'
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta agar tidak terkesima dengan propaganda yang dibawa oleh pembangkang supaya membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari dari blok kerajaan berkata, keputusan tersebut perlu dinilai secara mendalam kerana ia boleh memberi implikasi kepada masa depan pencarum, jika pengeluaran KWSP sekali lagi dibenarkan.
Berdasarkan satu kajian, Menteri Besar Selangor itu berkata, terdapat pencarum KWSP yang hanya mampu berbelanja 68 sen sehari selepas bersara susulan pengeluaran simpanan mereka sejak 2020
"Saya agak faham dengan apa yang diharapkan tetapi kita tidak boleh lihat negara ini berkembang dalam satu atau dua hari sahaja.
"Ini kerana satu kajian yang dibentangkan ketika kami membuat 'retreat' baru-baru ini, bahawa dengan pengeluaran-pengeluaran dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang saya percaya membantu rakyat tetapi perbelanjaan tidak diagihkan dengan tepat yang akhirnya menimbulkan apa?
"Pada hari ini sebahagian pencarum hanya mempunyai sejumlah 68 sen sehari kalau umur mereka mencecah 75 hingga 78 tahun," katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.
Membahas lanjut, Amirudin berkata sehubungan itu kerajaan perlu mempertimbangkan antara tanggungjawab dengan populisme dan gesaan-gesaan yang dibangkitkan oleh pembangkang supaya kerajaan tidak tertipu dengan propaganda-propaganda serta pilihan tersebut.
Terdahulu, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengemukakan usul tergempar dengan meminta agar Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran KWSP secara bersasar.
Ia dikemukakan mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1), kerana menurut pandangan Shahidan kerajaan perlu menyegerakan pengeluaran KWSP secara bersasar susulan keadaan terdesak termasuk peningkatan harga barangan dan kos sara hidup.
Minggu lalu, gesaan sama disuarakan oleh Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu kehendak rakyat.
Dalam masa yang sama, Amirudin ketika berbahas turut mencadangkan agar kerajaan segera menggubal kembali Akta Perkhidmatan Parlimen.
Langkah tersebut, menurut beliau akan menaikkan martabat Ahli Parlimen, selain meletakkan Speaker di kedudukan yang sepatutnya.
"Dengan adanya Akta Perkhidmatan Parlimen yang kita boleh kembalikan, saya percaya kita akan melantik Speaker yang lebih berkuasa, yang boleh menentukan pegawai-pegawainya dan mempunyai peruntukannya sendiri.
"Ini bertepatan dengan doktrin pemisahan kuasa yang sememangnya berakar dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara," ujarnya.