Astro Awani: MB Selangor tetap pertahan kos naik taraf stadium RM787 juta
SHAH ALAM: Kos pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) berjumlah RM3.28 bilion didakwa masih belum diluluskan kerajaan negeri.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, ini kerana kos dipersetujui adalah naik taraf stadium melibatkan kos sehingga RM800 juta.
Sebaliknya, kos RM3.28 bilion yang dibangkitkan pembangkang dalam perbahasan Belanjawan Selangor 2024 adalah melibatkan keseluruhan pembangunan termasuk kemudahan seperti taman awam dan pusat komersial.
Jelasnya, kerajaan negeri bertegas untuk bertahan dengan kos RM787 juta bagi menaik taraf Stadium Shah Alam merangkumi peralihan dan menaikkan tapak, projek tebatan banjir dan integrasi stesen Aliran Transit Ringan (LRT).
“Kita hendak maklumkan kalau melihat Stadium Shah Alam sahaja RM787 juta, kita tak tengok Stadium Malawati.
“Tetapi, stadium yang akan dibina adalah bercantum atau pun bergabung dan ia akan boleh digunakan pada waktu malam dan siang, boleh digunakan 'indoor'.
"Maknanya adalah ini gabungan daripada Stadium Malawati dan Shah Alam.
“Selepas itu, fasa kedua akan bermula untuk menyiapkan stadium dan jalan masuk serta kawasan-kawasan sekitar termasuk projek tebatan banjir kerana di dalam projek ini kita menyiapkan 10 ekar (empat hektar) untuk projek tebatan dan kolam tebatan banjir yang termasuk dalam perancangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atau perancangan tebatan banjir Sungai Damansara yang diputuskan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya dalam penggulungan Belanjawan Selangor 2024 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Selasa.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua turut menjawab celahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PH - Hulu Kelang) berhubung peningkatan kos daripada RM325 juta kepada RM800 juta dan RM3.28 bilion.
Menurutnya, kos RM325 juta itu dibuat oleh Menteri Besar ke-14 (Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang menjelaskan jumlah tersebut ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Saya masih ingat ketika itu kerana saya merupakan Pengerusi Darul Ehsan Facility Management (DEFM) dan terlibat dalam proses penilaian dan pengambilan semula pentadbiran Stadium Shah Alam.
“Angka RM787 juta itu adalah untuk menaik taraf Stadium Shah Alam sahaja sebab itu saya sebutkan naik taraf sahaja kita 'retain' di antara RM700 hingga RM800 juta dan kita tidak akan berubah.
“Tetapi konsep pembangunannya sedikit berubah kerana sebelum ini adalah konsepnya adalah 'land swapping' kepada tanah-tanah keseluruhan 172 ekar (69 hektar).
“Maknanya hanya buatkan stadium, laluan masuk dan mungkin ada kawasan lapang dan sebagainya dan lain-lain akan diberikan ruang kepada pemaju membangunkan mengikut kapasiti dan pembangunannya,” jelasnya.
Katanya lagi, daripada jumlah 69 hektar itu, sebanyak empat hektar akan dikurangkan bagi pembinaan projek tebatan banjir dan kolam takungan. - Sinar Harian