Astro Awani: Kibar Jalur Gemilang tanda cinta negara bukan kerana arahan - MB Selangor
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mahu penjawat awam di negeri itu mengibarkan Jalur Gemilang bukan semata-semata kerana arahan daripada jabatan masing-masing, tetapi didorong dengan rasa cinta kepada negara.
Beliau berkata dengan mengibarkan bendera Malaysia itu, rakyat dapat menunjukkan tanda solidariti bagi mewujudkan rasa cinta kepada negara dan negeri.
"Jangan hanya kibaran yang kita nak tonjolkan pada hari ini, hanya kibaran pada tangan yang kita sambut sebagai arahan jabatan, tetapi ia juga tanda sayang dan cinta kepada negara," katanya ketika berucap sempena Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2023 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Amirudin berkata dengan adanya sikap solidariti, seseorang akan lebih terdorong untuk melakukan sesuatu secara sukarela dan bersungguh-sungguh demi memajukan tanah air yang tercinta.
Pada majlis itu, Amirudin turut menyerahkan bendera kepada semua pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah dan tanah sebagai simbolik Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 pada hujung bulan ini.
-- BERNAMA