20151006093607

Dua tokoh yang turut menyampaikan ucap tama ialah Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Nama Za’aba atau Zainal Abidin bin Ahmad telah terpahat dalam sejarah persuratan dan kebudayaan Melayu sebagai tokoh bahasa dan reformasi pemikiran di negara ini. Walaupun lebih dikenali sebagai bapa permodenan bahasa Melayu, tetapi Za’aba juga telah memberikan sumbangan yang amat besar di dalam bidang politik, ekonomi dan agama.

Melihat kembali pemikiran seorang tokoh agung tidak seharusnya menjadi kenang-kenangan nostalgia semata-mata tanpa ada wacana yang menyeluruh tentang idea-idea pokok tokoh tersebut.

Diskusi dan perbincangan pemikiran Za’aba ini juga hendaklah berlaku dengan kesedaran bahawa beliau adalah seorang tokoh yang meletakkan nilai ilmu sebagai paksi perjuangannya.

Jika tidak pemikiran Za’aba yang lahir pada 150 tahun yang lalu akan dilihat di dalam kaca mata perkauman dan cenderung dikotakkan dalam perjuangan nasionalisme yang sempit. Sedangkan pembentukan pemikiran Za’aba adalah merupakan hasil sintesis pemikiran tokoh-tokoh besar seperti Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Rashid Redha.

Za’aba juga menguasai bahasa Arab dan juga bahasa Inggeris. Bahkan diceritakan bahawa beliau dimarahi bapanya kerana masuk belajar ke St John Institution dengan niat untuk mempelajari bahasa Inggeris. Walaupun kemudian bapanya gembira beliau tidak bertukar menjadi Kristian bahkan menjadi pelajar terbaik di sekolah itu.

Tidak salah untuk kita mengatakan bahawa Za’aba adalah seorang tokoh melayu kosmopolitan yang membuka dirinya luas-luas kepada ilmu dari Barat atau Timur.

Beliau melanggan majalah-majalah reformis Islam yang berpengaruh ketika itu seperti al-Manar, Islamic Review, The Light dan al-Hilal dari negara-negara seperti England, Mesir dan India. Bahkan Za’aba juga telah menterjemahkan beberapa artikel daripada majalah al-Manar.

Za’aba mula mengkritik penjajah British terutamanya dalam aspek pendidikan apabila pendidikan untuk orang Melayu dirangka hanyalah untuk membolehkan pelajar menulis dan mengira sahaja bukannya pendidikan dalam maksud untuk memberikan pencerahan minda yang dapat membawa kepada perubahan sosial. Ini bagi Za’aba sengaja dilakukan oleh British untuk mengelakkan apa yang berlaku di India tatkala golongan yang berpendidikan tinggi mula membangkang mereka.

Perjuangan untuk mengangkat Bahasa Melayu merupakan aspek penting kepada nasionalisme Melayu serta perjuangan menuntut kemerdekaan. Dalam konteks Malaysia menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memberi pengisian dan makna kepada kemerdekaan.

Bahasa Melayu telah memberikan negara kita identiti atau makna diri. Ini yang diyakini oleh Za’aba di saat belum Merdeka lagi. Meskipun bahasa Inggeris memainkan peranan amat besar dalam perkembangan ilmu, pendidikan, ekonomi dan diplomasi negara tetapi identiti sebuah negara baru perlu bertapak pada sejarah dan hati nurani rakyat.

Namun, Bahasa Melayu sendiri perlu melalui transformasi untuk dijadikan sebagai bahasa tinggi dan; bahasa ilmu dan kebudayaan moden yang diajarkan di universiti-universiti. Zaaba sendiri menunjukkan jalan bagaimana hasrat ini boleh dicapai. Antara karya Zaaba adalah terjemahan karya Mark Twain yang bertajuk “The Prince and the Pauper” yang menjadi buku pertama diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958. Za’aba juga pernah menterjemahkan sebuah kitab arab dengan tajuk “Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan Hamba” sebuah kita perbahasan falsafah tentang takdir dan ikhtiar manusia. Terjemahan itu dibuat untuk memenuhi permintaan gurunya Syeikh Tahir Jalaludin.

Keseriusan Za’aba untuk menghasilkan khazanah ilmu untuk orang Melayu dapat dilihat pada Kongres Bahasa Melayu yang pertama pada tahun 1952. Beliau menyeru kepada semua peserta kongres itu sama ada individu dan organisasi untuk menulis apa sahaja ilmu yang belum ada lagi dalam bahasa Melayu.

Za’aba meyakini bahawa ilmu matematik, fizik, undang-undang, falsafah, kimia, astronomi dan banyak lagi bidang ilmu, akan menjadi sebahagian daripada korpus Melayu jika bidang-bidang ini diajar dalam bahasa Melayu. Za’aba meyakini bahawa sifat bahasa Melayu yang anjal dan mudah menerima serapan itu yang akan menjadikannya sebagai bahasa ilmu-ilmu moden juga.

Apa yang dilakukan oleh Zaaba adalah mengikut jejak langkah kebudayaan yang dilalui oleh tamadun Islam. Melalui kegiatan penterjemahan yang dilakukan oleh institusi di zaman Abbasiyah yang bernama Baitul Hikmah, tamadun Islam telah memindahkan khazanah ilmu tamadun Yunani seperti sains dan falsafah ke dalam tamadun Islam. Kegiatan penterjemahan ini meletakkan asas kepada revolusi keilmuan yang menjadikan tamadun Islam tamadun yang paling gemilang di dunia pada suatu masa dahulu.

Sehingga hari ini dunia, khususnya Barat, masih menghargai dan terhutang budi dengan Islam kerana memberikan talian hayat kepada tamadun Yunani dan mengembangkan ilmu-ilmu tamadun tersebut tatkala dunia ketika ini masih di dalam kegelapan. Karya-karya filasuf Islam seperti al-Farabi, Ibn Sina, al-Ghazali dan lain-lain merupakan sumbangan Islam terhadap tamadun kemanusiaan.

Justeru itu apabila dalam pembentangan belanjawan negeri Selangor yang lalu YAB Dato’ Menteri Besar telah mengumumkan akan menyokong kegiatan penterjemahan karya ilmiah dan kebudayaan. Ini sebenarnya adalah terilham dengan kegiatan penterjemahan yang dimulakan oleh Pendita Zaaba.

Kesenjangan ilmu antara umat Islam dengan dunia industri di Barat dan di Timur memang amat lebar. Malaysia merupakan antara negara-negara Islam yang termaju. Tetapi kita berada jauh di belakang dengan Jepun dan Korea Selatan.

Akhir kalam, membaca dan berwacana tentang Pendita Za’aba ini seharusnya memberikan keinsafan kepada kita untuk melihat bagaimana mereka inilah yang merintis jalan kepada pembentukan bangsa dan negara ini. Batu-batu asas yang diletak inilah yang melahirkan generasi kita pada hari ini.

Terima kasih.

6 Oktober 2015, Selasa
di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz,

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*