Media

Peristiwa
26/4/24
Selangor
Perayaan
Perhimpunan

Selangor Kini: PRK Kuala Kubu Baharu: Gabungan perpaduan iktiraf peranan wanita, orang muda

HULU SELANGOR, 25 APRIL: Barisan Nasional (BN) Selangor akan memastikan kejayaan berpihak kepada calon kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pengerusinya Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata beliau telah memberikan jaminan tersebut kepada pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk membantu kemenangan calon gabungan itu.

“Kita sudah adakan mesyuarat beberapa kali bersama ketua-ketua dari kerajaan Perpaduan dan kita telah dan akan memberi komitmen penuh untuk memastikan calon menang.

“Dari segi jentera, saya telah memutuskan untuk menggerakkan semua Bahagian Umno Selangor untuk memberikan tumpuan kepada kawasan penduduk majoriti Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon kerajaan Perpaduan di perkarangan Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu di sini, malam tadi.

Dalam majlis berkenaan, Pang Sock Tao, 31, yang mewakili DAP diumumkan sebagai calon bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan wanita sebagai tulang belakang dan watak penting dalam kempen menjelang PRK Kuala Kubu Baharu.

Menurutnya mendiang Lee Kee Hiong telah membuktikan perkara tersebut kerana meninggalkan rekod cemerlang sepanjang hampir tiga penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Peranan wanita cukup hebat dalam kempen, jentera dan semuanya. Mendiang sudah membuktikan dengan rekod bersih sepanjang perkhidmatannya sebagai pemimpin di Kuala Kubu Bharu

“Kita mengangkat dan mengiktiraf martabat wanita. Sebab itu calon yang telah disenarai pendek semuanya mestilah wanita. Itu syarat pertama kita,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN berkenaan pada 11 Mei ini, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.