Inisiatif

Terkini
28/7/22
Selangor
Bantuan

Utusan Malaysia: Kerajaan Selangor sediakan RM5,000 bantuan bagi pembiayaan pesakit kronik

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyediakan bantuan sehingga RM5,000 bagi membantu pesakit kanser mendapatkan rawatan termasuk pembedahan di bawah inisiatif program Bantuan Sihat Selangor (BSS).

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni (PH-Sungai Kandis), kerajaan negeri menyediakan had jumlah pembiayaan sebanyak RM5,000 bagi setiap kali permohonan BSS.

“Individu yang memenuhi syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan dengan melayari laman sesawang http://bantuansihat.selangor.gov.my,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Wong Siew Ki pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pagi ini.

Mohd. Zawawi menjawab soalan tersebut mewakili Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud yang masih bercuti.

Jelasnya, selaku negeri yang sentiasa mengutamakan aspek penjagaan kesihatan rakyat, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan perubatan dengan cepat dan berkualiti.

Katanya, antara inisiatif itu adalah melalui program Iltizam Selangor Sihat (ISS), Skim Rawatan Jantung, Insentif Rawatan Tibi dan BSS.

“Pada tahun ini, kerajaan Selangor telah mengorak langkah ke hadapan apabila memperkenalkan Program Selangor Saring yang bertujuan melakukan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi dan beberapa penyakit kanser yang terpilih seperti prostat, serviks, payu dara dan kolorektal,” jelasnya. – UTUSAN

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.