Sinar Harian: Selangor berjaya tarik pelaburan bernilai RM88.88 bilion
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berjaya menarik pelaburan berjumlah RM88.88 bilion sejak 2018 sehingga Jun lalu meliputi 1,506 projek perkilangan.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, sebanyak 95,610 potensi peluang pekerjaaan juga telah diwujudkan untuk dinikmati rakyat negeri ini.
"Antara industri yang menjadi tumpuan adalah sains hayat, pembuatan makanan dan minuman serta produk elektrik dan elektronik.
"Malah untuk menggalakkan lagi nilai pelaburan, kelengkapan serta pengangkutan seperti aeroangkasa dan dron turut memacu ekonomi negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Infografik dikongsi Menteri Besar di laman sosialnya pada Selasa.
Menteri Besar menambah, promosi pelaburan secara fizikal atau dalam talian dengan pihak dewan perniagaan tempatan dan luar negara juga rancak.
Jelasnya, kerajaan negeri turut mengenal pasti sektor perkhidmatan berpotensi seperti perkhidmatan logistik, pelaburan digital seperti perniagaan perkhidmatan global, pusat data dan teknologi kreatif.
"Daripada keseluruhan jumlah, RM53 bilion melibatkan pelaburan modal asing manakala baki RM35.88 bilion datang dari tempatan.
"InsyaALLAH, kejayaan ini akan terus ditingkatkan dan dikembangkan demi kemakmuran rakyat Selangor," katanya lagi.