Sinar Harian: Rumah kayu berkonsep IBS pertama di Malaysia
SHAH ALAM – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membangunkan projek rumah kayu berkonsep Sistem Bangunan Berindustri (IBS).
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail, projek Timber Technology House (TimTecH) tersebut menyerlahkan bakat dan kemahiran pelajar dalam industri pembinaan terkini.
Menurutnya, konsep IBS pada rumah kayu tersebut merupakan yang pertama di Malaysia bagi pengusaha industri perkayuan negara.
"Pelaksanan projek ini menyokong strategi utama memperkasakan TVET negara yang antaranya mengubah konsep pendidikan tradisional daripada 'train and place' kepada 'place and train'.
"Ia juga dapat memperkenalkan model pemilikan bersama antara kerajaan dan industri untuk guna sama peralatan, teknologi, kepakaran dan inovasi," katanya selepas merasmikan Minggu Terbuka PSA 2023 seterusnya merasmikan rumah TimTecH yang diadakan di Anjung Bestari, PSA pada Selasa.
Beliau berharap agar lebih banyak industri tampil berkolaborasi bagi membangunkan teknologi terkini yang berkaitan dengan pembinaan seperti penggunaan tenaga solar dan aplikasi rumah pintar seiring Revolusi Industri (IR) 4.0.
Beliau berkata, projek TimTecH itu merupakan hasil kerjasama PSA dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Ujarnya, struktur utama binaan telah siap pada pertengahan 2022 dan akan dilengkapkan dengan teknologi IR 4.0 secara berperingkat melalui latihan dan pembelajaran pelajar.
Dalam pada itu beliau berkata, ketika ini terdapat lebih 18,000 industri yang berkolaborasi secara aktif dengan politeknik dan kolej komuniti.
Beliau menyeru agar kolaborasi strategik antara industri dengan politeknik dan kolej komuniti selaku pembekal terbesar TVET negara dapat diperkukuh bagi memacu agenda Malaysia dalam melahirkan sumber tenaga berkemahiran dan berpendapatan tinggi.