Media

COVID-19
19/5/21
Isu
Selangor
STFC19
Negara

Sinar Harian: PKRC MAEPS dalam proses bina dewan tingkatkan kapasiti: JKNS

SHAH ALAM - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 yang berkapasiti 5,869 katil sedang dalam proses untuk membangunkan sebuah lagi dewan bagi menampung jumlah peningkatan pesakit yang tinggi terutama di sekitar Lembah Klang.


Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam hantaran di Facebook memaklumkan ketika ini, jumlah pesakit adalah seramai 3,454 dengan 80 peratus terdiri daripada warga tempatan.

Sementara itu, purata jumlah kemasukan pesakit adalah sekitar 600 sehari dengan pesakit harian pernah mencecah sehingga 1,800 orang.


“Pada peringkat awal penubuhan PKRC Bersepadu MAEPS, ia bertujuan untuk menempatkan pesakit stabil dengan kategori 1 dan 2 sahaja manakala bagi pesakit warga emas yang berumur melebihi daripada 70 tahun dan kanak-kanak di bawah dua tahun pula akan ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh.

“Oleh kerana peningkatan pesakit yang mendadak pada masa kini, PKKN telah tidak dapat menampung jumlah pesakit dalam kategori tersebut dan mereka terpaksa ditempatkan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0," katanya.

Menurut JKNS peningkatan kes Covid-19 terkini juga menyaksikan pertambahan kes-kes kategori 3 yang mendadak sedangkan pada awalnya, PKRC Bersepadu MAEPS hanya menyediakan 60 katil bagi kategori tersebut, namun kini menempatkan 752 katil serta akan ditambah kapasitinya kepada 1,000 katil dalam waktu terdekat.

JKNS turut mengulas mengenai artikel bertajuk “Enam jam untuk dapat katil, suhu terlampau sejuk, makanan tak cukup, tandas ‘jijik’, antara keluhan penghuni MAEPS” yang disiarkan sebuah portal berita pada Isnin (17 Mei).

“Untuk makluman, kerja pembersihan tandas dilakukan sebanyak empat kali sehari iaitu pada 10 pagi-12 tengah hari, 3 petang-5 petang, 8 malam-10 malam dan 2 pagi-4 pagi,” jelas JKNS dalam hantaran berkenaan.


JKNS berkata, tinjauan yang dijalankan dalam kalangan pesakit juga mendapati 75 peratus responden berpuas hati terhadap tahap kebersihan tandas pesakit dan 91 peratus pesakit berpuas hati dengan tahap kebersihan dewan selain komen-komen positif pesakit menerusi pelbagai saluran media sosial.

“Untuk pengetahuan ramai, isu penjarakan fizikal di dalam pusat kuarantin yang dinyatakan tidak menjadi masalah kerana semua pesakit yang terlibat telah disahkan Covid-19 positif," katanya.

JKNS berkata, bekalan makanan juga cuba disediakan sebaik mungkin dan dalam jumlah yang mencukupi serta tidak berlebihan bagi mengelakkan pembaziran.

Bagaimanapun, JKNS berkata, pihak PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 sentiasa mencuba pendekatan baharu misalnya menyediakan trak makanan secara percuma sehingga jam 10 malam bagi menampung jumlah kemasukan pesakit baharu.

Selepas jam 10 malam, katanya makanan bagi kemasukan pesakit baharu ditampung dengan penyediaan dry ration yang terdiri daripada sebuku roti Gardenia, kaya, biskut, air mineral dan air kotak bagi setiap pesakit. - Bernama


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.