Sinar Harian: Pencapaian dan prestasi Selangor jadi taruhan kempen PRN

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Agro Madani.
SHAH ALAM - Aura pembaharuan yang dibuat dan rekod pentadbiran yang dimiliki akan menjadi taruhan kempen kerajaan Selangor untuk mengekalkan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, mereka akan menawarkan pengalaman, sejarah, prestasi terkini dan rencana masa depan kepada rakyat negeri itu.
"Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam pentadbiran negeri dan ia teruji dalam menangani beberapa situasi.
"Iaitu di saat kita menjadi negeri pembangkang, ketika kita bersama kerajaan Persekutuan selama 22 bulan, di saat kita jadi negeri yang bakal tumbang dalam Langkah Sheraton dan akhirnya menjadi negeri yang sebati dengan kerajaan Pusat sekarang," katanya.
Malah, beliau menegaskan, gabungan PH dengan BN juga akan menambah kekuatan kepada koalisi itu dari sudut tradisi.
"Tradisi kepimpinan, pengalaman pembangunan dan tradisi organisasi yang begitu ampuh dalam parti sebesar BN dan UMNO terutamanya boleh dijadikan sumber kekuatan untuk kesepakatan pada hari ini dan masa depan," jelas beliau.
Amirudin memberitahu, kerajaan negeri juga akan memantapkan bidang pendidikan terutama membabitkan pendidikan selepas sekolah menengah jika terus diberi mandat dalam PRN nanti.
Beliau menambah, pembaharuan lain yang akan diberi perhatian juga dari segi pembangunan aspek pengajian Islam yang lebih menumpukan kepada ilmu pengetahuan.
Ditanya tentang sejauh mana keyakinan beliau bahawa rakyat akan terus memilih kerajaan sedia ada dalam PRN nanti, Amirudin percaya dengan sifat rasional, kebijakan dan kemahuan mereka untuk melihat kesinambungan nikmat hidup dan kemajuan di dalam negeri akan membantu PH untuk terus memilih mereka.
"Dari segi negeri, saya rasa negeri tidak melakukan kekejaman kepada rakyat bahkan kita menjadi negeri yang sentiasa mendengar, sentiasa menyesuaikan dan sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dalam beberapa tawaran kita," beritahunya.
Penyumbang terbesar
Kecemerlangan Selangor menjadi penggerak utama ekonomi negara dan penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di peringkat nasional tidak dicapai dengan mudah dalam tempoh lima tahun ini.
Amirudin berkata, pencapaian itu menunjukkan keupayaan Selangor untuk terus melangkah ke hadapan walaupun ia dicapai semasa krisis politik, pandemik Covid-19 serta bencana banjir.
Sehubungan itu, menurut Amirudin, beliau akan memastikan Selangor akan terus menjadi topik perbahasan dalam bidang ekonomi selepas berjaya menunjukkan keupayaan sebagai sebuah negeri yang tahan diuji.
"Pertama sekali negeri Selangor tidak boleh keluar daripada perbahasan ekonomi justeru pencapaian ekonomi Selangor telah kita tunjukkan dengan kemampuan dan keupayaan dalam sudut tahan uji.
"Juga keupayaan kita mengembang (tenaga) di saat dan kala luar krisis dan juga merangka potensi-potensi pada masa depan," katanya.