Suara

Peristiwa
24/8/23
Isu
Selangor

Sinar Harian: Nafi guna data pengguna tanpa kebenaran untuk program INSAN - MB Selangor

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menafikan menggunakan data peribadi pengguna rakyat Selangor tanpa kebenaran bagi pendaftaran Skim Perlindungan Insurans Am (INSAN).

Amirudin berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan maklumat data awam yang boleh dibeli.

Menurutnya, maklumat tersebut digunakan bagi tujuan pra pendaftaran INSAN kepada rakyat Selangor yang berkelayakan.

"Mereka yang telah mendapat pra pendaftaran itu perlu mengesahkan dengan langkah gambar swafoto dan kad pengenalan serta berkaitan untuk mengesahkan pendaftaran tersebut.

"Selepas mereka mengesahkan (pendaftaran), mereka termaktub dan terangkum di dalam sistem tersebut namun saya akan minta pihak terbabit jelaskan bagaimana untuk akses polisi tersebut.

"Sepatutnya polisi itu perlu diserahkan kepada penerima namun apa yang berlaku, pra pendaftaran dibuat supaya kita tak perlu daftar satu persatu kerana akan ambil masa yang panjang," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pengumuman senarai portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Pada Selasa, timbul isu pertikaian pengguna didaftarkan tanpa kebenaran menerusi INSAN didakwa menggunakan data peribadi tanpa kebenaran.

Isu tersebut tersebar di media sosial telah menimbulkan kebimbangan awam tentang tahap keselamatan data peribadi.

Amirudin berkata, kerajaan negeri telah berhubung dengan SPR untuk menggunakan data menerusi daftar pemilih yang boleh diambil dan digunakan mengikut tahap umur tertentu.

"Bagaimanapun kita akan memantapkan kawalan terutama jika terdapat pelanggaran pada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

"Apa yang ditekankan adalah pada pra pendaftaran. Jika tak mahu ambil INSAN maka tak perlu ambil polisi atau data berkaitan," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.