Sinar Harian: 90 peratus warga emas di Selangor belum daftar suntikan vaksin
KUALA SELANGOR - Kira-kira 90 peratus warga emas di Selangor masih belum mendaftar bagi pengambilan vaksin Covid-19.
Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, faktor itu disebabkan golongan itu tidak mempunyai akses kepada aplikasi MySejahtera, kekangan internet selain tidak mengetahui cara pendaftaran secara digital.
Sehubungan itu, katanya, STFC melalui kerajaan negeri akan bertindak membantu golongan terbabit menerusi pendaftaran melalui pelbagai platform digital dan secara manual bagi memastikan tiada yang tercicir dalam pengambilan vaksin itu.
"Kerajaan negeri masih di peringkat penyelarasan dan peringkat permulaan ini kita akan membantu pendaftaran suntikan vaksin," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas ditemui pada Ujian Saringan Covid-19 Percuma di Dewan Orang Ramai Bestari Jaya, di sini pada Ahad.
Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi membantu pendaftaran vaksin.
"Pada peringkat permulaan, kita juga membuat pendaftaran suntikan vaksin di pusat saringan Covid-19 seperti yang diadakan pada hari ini.
"Pengerusi MPKK turut diberi pendedahan cara bagaimana untuk membantu pendaftaran bagi mereka yang belum mendaftar dengan menggunakan aplikasi atau terus melalui laman web disediakan," katanya.
Katanya, kerajaan Selangor memahami kekangan dihadapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan semua rakyat di negara ini membuat pendaftaran vaksinasi.
"Di Selangor kita mempunyai data dan ia akan dikongsikan bersama bagi membantu melancarkan proses pendaftaran dan mengenal pasti individu-individu yang berkenaan bagi tujuan pendaftaran.
"Dengan kaedah ini, kita dapat memudahkan mereka yang tidak mempunyai akses internet yang baik di tempat tinggal mereka dan juga membantu individu yang tidak mempunyai kemahiran mendaftar dalam pengambilan vaksin," katanya.