Sinar Harian: 10 peratus penduduk Selangor sudah divaksin
PETALING JAYA - Selangor telah mencapai sasaran 10 peratus penduduk yang divaksin berdasarkan kadar orang dewasa berusia 18 tahun ke atas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jika mengikut kadar berkenaan, negeri ini juga sudah boleh keluar daripada pelaksanaan Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Kadar itu sudah mencecah 27 peratus berdasarkan PPN, kita sudah boleh keluar ke fasa berikutnya," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mentari Court, pada Isnin.
Amirudin berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sebelum ini yang mengatakan Selangor menjadi negeri yang merekodkan peratusan terendah jumlah penduduk menerima dua dos vaksin.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud akan bermesyuarat bersama CITF pada hari ini (Isnin) bagi membincangkan mengenai vaksinasi di negeri itu.
"Kita sedang perlihatkan bagaimana tambahan program SelVAX, tambahan PH Corp dan juga tambahan dos untuk Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) selepas ini dapat mempercepatkan proses vaksinasi di Selangor.
"Tugas antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan bagi mengenalpasti dan mengisi kekosongan untuk menangani Covid-19 dengan baik," katanya.