Selangor Kini: STDC tawar biasiswa 10 kursus kemahiran, pelajar lepasan SPM dipelawa rebut peluang
GOMBAK, 5 SEPT: Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) menawarkan 10 kursus kemahiran kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pembantu Pentadbiran Pemasarannya Mohd Zuzaily Zulkufele berkata biasiswa dan kemudahan asrama turut disediakan kepada pelajar yang layak.
“Kita sasarkan lebih ramai pelajar, terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahu mengenai kelebihan yang ditawarkan di STDC,” katanya ketika ditemui di Perpustakaan Awam Gombak hari ini.
Antara kursus yang ditawarkan termasuklah sistem komputer, automatif, elektrik, kulinari, pastri, terapi spa, dan jahitan fesyen.
Menurut Mohd Zuzaily, STDC kini giat mempromosikan kursus berkenaan menerusi Jelajah Pendidikan Selangor Penyayang anjuran bersama Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Kita sudah bermula sejak 1 September lalu di lima lokasi terpilih. Ia bermula di Banting, Gombak, Klang, Sabak Bernam, dan akan berakhir pada 8 September ini di Sepang,” katanya.
Pada 1 September lalu, Dato’ Menteri Besar mempelawa pelajar lepasan SPM mengikuti Jelajah Pendidikan Selangor Penyayang STDC-TVET di lima lokasi di seluruh negeri.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka yang berminat perlu membawa salinan kad pengenalan diri dan ibu bapa serta salinan keputusan SPM.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-3281 2621 atau mesej ke aplikasi WhatsApp di 019-3424 1111.