Selangor Kini: Selangor teroka industri tenaga, pacu ekonomi seiring melestari alam sekitar
KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Industri tenaga giat dibangunkan Selangor sebagai usaha menangani perubahan iklim yang menjadi ancaman global ketika ini.
Dato’ Menteri Besar berkata agensi dan anak syarikat diarah membuat perancangan serta menjadikan elemen itu sebagai peluang untuk lebih berinovasi sekali gus beradaptasi dengan perubahan tenaga.
“Pada Isnin, dunia mencatat rekod baharu untuk hari paling panas sepanjang masa dengan suhu purata global 17.15 darjah Celsius. Rekod dicatatkan 24 jam sebelumnya.
“Ini menunjukkan kita masih belum mampu meredakan dan menangani isu perubahan iklim. Kita perlu menggiatkan lagi usaha untuk tujuan itu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Persidangan Perniagaan Asean Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) hari ini.
Pada Oktober tahun lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri aktif meneroka industri tenaga sebagai usaha memacu ekonomi, seiring usaha melestarikan alam sekitar.
Antara dilakukan ialah pembinaan loji jana kuasa di Pulau Indah, Klang; stesen mini hidroelektrik di Batang Kali, Hulu Selangor serta pembinaan loji sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor.