Selangor Kini: Selangor belanja RM5 juta sedia kit khas kuarantin di rumah
GOMBAK, 20 JUN: Kerajaan Negeri memperuntuk RM5 juta untuk menyediakan kit penilaian di rumah bagi kegunaan individu yang disyaki positif Covid-19.
Dato’ Menteri Besar berkata kit yang dianggar bernilai RM200 setiap satu mengandungi oximeter atau alat pengukur tingkat oksigen, bekalan ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu.
“Kalau dalam satu keluarga ada lima orang positif kita akan berikan satu sahaja oximeter tetapi ubat-ubatan kita beri kepada setiap orang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau ditemui selepas melawat program Saringan Komuniti fasa tiga membabitkan kawasan Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer di Dewan Beringin Taman Seri Gombak di sini.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri bersedia menambah bilangan kit tersebut mengikut situasi semasa bagi memastikan mereka yang dikuarantin di rumah mengenal pasti tahap kesihatan.
“…mereka boleh hubungi PKD (pusat kesihatan daerah) jika keadaan makin parah. Ada sebahagian kes tidak bergejala…jadi kita berikan mereka panduan bagaimana menjaga diri ketika kuarantin,” katanya lagi.
Inisiatif Home Assessment Tool atau kit penilaian di rumah disediakan bagi membendung kes ‘Brought In Dead’ (BID) yang kian membimbangkan kebelakangan ini.
Alatan tersebut termasuk bantuan makanan akan diagihkan oleh pusat khidmat masyarakat.