Selangor Kini: Perubahan iklim punca hasil padi merosot di seluruh dunia - EXCO
KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Kemorosotan hasil padi yang berlaku di seluruh dunia ketika ini termasuk Selangor disebabkan faktor perubahan iklim, kata EXCO pertanian.
Ir Izham Hashim menjelaskan keadaan itu sekali gus mendorong negara pengeluar seperti Myanmar, Thailand dan India mengurangkan eksport pertanian ke negara lain.
“Masalah hasil padi merosot ini berlaku di seluruh dunia bukan negara kita sahaja. Perubahan iklim memang benar-benar berlaku. Selangor juga alami perkara sama.
“Sebagai contoh, tahun ini hasil padi kita hanya tiga hingga empat tan metrik sehektar dan ia merupakan antara yang terburuk,” katanya selepas merasmikan Hari Inovasi Pertanian Selangor 2023 di sini hari ini.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Ir Izham berkata Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM8.9 juta baru-baru ini untuk memastikan pesawah dapat meningkatkan hasil padi.
Beliau menjelaskan insentif tunai RM300 untuk setiap hektar dibayar kepada lebih 9,000 pesawah, selain bantuan penyediaan benih padi bagi menggalakkan penanaman.
“Selain insentif, kita juga memerlukan inovasi baru dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (RnD) bagi menghasilkan padi bermutu dan pengeluaran lebih baik pada masa depan,” katanya.