Media

20/5/24
Isu
Selangor

Selangor Kini: Pendapat, keperluan anak muda diambil kira dalam rancangan pembangunan - MB

HULU SELANGOR, 19 MEI: Pentadbiran negeri sentiasa mengambil kira pandangan golongan muda dalam rancangan pembangunan dengan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan dan kelab belia.

Dato’ Menteri Besar berkata pendekatan itu untuk memahami kemahuan serta akal fikiran anak muda demi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar, terutama dalam fasa pemulihan susulan krisis Covid-19.

“Keluh kesah golongan muda selain pandangan mereka terhadap kerajaan sentiasa diambil kira bagi memastikan rancangan pembangunan negeri berjalan lancar.

“Pentadbiran ini tidak akan berdiam diri sebaliknya turun pandang bertemu generasi muda. Kita banyakkan sesi dialog untuk tahu kefahaman, kegelisahan anak muda.

“Kita mahu beri harapan baharu dan atasi kegelisahan mereka dengan tuntas kerana kita yakin pentadbiran negeri akan terus menampilkan kelompok ini untuk memimpin,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap merasmikan majlis penutup sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri yang bertemakan Yakin Boleh di Institut Kemahiran Belia Negara Pertak di sini hari ini.

Sementara itu presiden Majlis Belia Selangor berkata lebih 2,000 peserta terlibat dengan sambutan berkenaan yang diadakan tiga hari bermula Jumaat lalu.

Jelas Datuk Imran Tamrin, selain pengisian lebih 20 program yang menerapkan elemen Yakin Boleh, sambutan turut menawarkan 3,000 peluang kerjaya menerusi karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kita mulakan dengan program selawat perdana. Semua program dianjur melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Sukarelawan Selangor (Serve) dan Penggerak Belia Selangor.

“Program turut mengiktiraf belia dan kelab sert persatuan belia yang menunjukkan kecemerlangan,” katanya.

Seterusnya
No items found.
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.