Selangor Kini: MBSA pasang 46,000 lampu jalan solar, kurangkan pelepasan karbon
SHAH ALAM, 11 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) giat memasang 46,000 lampu jalan solar diod pemancar cahaya (LED) bagi mengurangkan pelepasan karbon.
Timbalan datuk bandarnya berkata kerja pemasangan yang dilaksanakan sejak 2018 kini berbaki 4,000 lagi dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun.
“Di kawasan MBSA ada sekitar 64,000 lampu jalan mentol tetapi 18,000 daripadanya milik Jabatan Kerja Raya dan Tenaga Nasional Berhad, manakala selebihnya milik MBSA yang sudah ditukar sepenuhnya kepada lampu LED,” kata Ir Cheremi Tarman ketika ditemui di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini semalam.
Bercakap pada program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Cheremi berkata dengan kemudahan berkenaan bil lampu jalan dapat dikurangkan kepada RM5.7 juta setahun sejak 2018 hingga tahun lepas berbanding RM12.9 juta pada tahun-tahun sebelumnya.
“Perbezaan lebih kurang RM7 juta atau 50 peratus berbanding penggunaan lampu jalan mentol, selain menjimatkan kos penyelenggaraan dan paling penting pelepasan karbon berkurang.
“Malah pemantauan kerosakan lampu jalan juga boleh dibuat melalui aplikasi sekali gus memudahkan pegawai tanpa perlu membuat pemeriksaan tiap-tiap malam,” katanya.