Selangor Kini: Kempen e-dagang langkah tepat bangunkan sektor ekonomi ketika COVID-19
SHAH ALAM, 7 JULAI: Pelaksanaan kempen e-dagang anjuran kerajaan Selangor merupakan langkah tepat dalam menyelamatkan sektor ekonomi.
Dato’ Menteri Besar berkata kesan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan Covid-19 sejak tahun lalu mengakibatkan hampir 90 peratus struktur ekonomi negeri tidak bergerak sempurna.
“Keadaan ini mengganggu dan memberi kesan kepada pertumbuhannya tetapi kita masih mempunyai peluang dalam sektor perniagaan e-dagang yang dijalankan di bawah EXCO pelaburan seperti e-Bazar Ramadan dengan penyertaan luar biasa.
“Pelaksanaan ini memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi usahawan tetapi peladang serta pekebun kecil yang membekalkan bahan mentah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam siaran langsung Ruang Bicara di Facebook Bernama TV malam ini.
Beliau berkata, peluang diberikan kerajaan Negeri perlu direbut walaupun kitaran ekosistem belum sempurna sepenuhnya.
“Ini adalah usaha kerajaan Negeri dan selaras dengan Selangor yang menuju ke arah Smart State. Ini adalah masa depan yang datang awal disebabkan Covid-19,” katanya.
Sejak tahun lalu, Selangor bersama Shopee dan Lazada menganjurkan empat kempen e-dagang yang mencatatkan RM2.95 bilion kesan kepada ekonomi negeri, termasuk RM144.7 juta jualan terus.
Kempen e-Bazar Raya Selangor dan e-Bazar 11.11 Selangor diadakan tahun lalu, manakala e-Bazar Tahun Baharu Cina dan e-Bazar Raya Selangor pada tahun ini.