Selangor Kini: Kadar kematian pesakit tanpa vaksin lebih tinggi banding penerima vaksin, dos penggalak
KUALA LUMPUR, 20 FEB: Kadar kematian pesakit Covid-19 dalam kalangan mereka yang tidak mengambil vaksin adalah jauh lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil vaksin lengkap dan mendapat dos penggalak.
Menurut data Kematian per (bagi setiap) 100,000 Populasi mengikut Status Vaksinasi bagi 1 Jan hingga semalam yang dikongsi oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Twitternya, menunjukkan kadar kematian dalam kalangan pesakit berumur antara 40 hingga 49 tahun yang tidak divaksin adalah sebanyak 92.09 bagi setiap 100,000 penduduk.
Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding kadar kematian 3.08 kematian bagi pesakit yang lengkap vaksin dan 3.18 kematian bagi kalangan pesakit yang mengambil dos penggalak bagi kategori usia yang sama.
Bagi pesakit berusia 80 tahun ke atas, kadar kematian ialah 167.06 dalam kalangan yang tidak mengambil vaksin, berbanding 119.34 kematian yang mempunyai vaksin lengkap dan 42.00 kematian bagi pesakit yang mendapat dos penggalak.
Menurut data itu lagi, kadar kematian bagi pesakit berumur 18 hingga 29 tahun yang tidak mengambil vaksin ialah 8.14 berbanding 0.98 bagi penerima vaksin lengkap dan 0 bagi pesakit yang mengambil dos penggalak.
Bagi kumpulan pesakit berusia 30 hingga 39 tahun, data tersebut menunjukkan kadar kematian adalah 14.00 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding 1.90 kematian bagi yang menerima vaksin lengkap manakala 4.18 kematian bagi pesakit yang mengambil dos penggalak.
Data itu menunjukkan kadar kematian sebanyak 49.46 bagi setiap 100,000 penduduk dalam kalangan pesakit yang tidak mengambil vaksin, 6.62 kematian dalam kalangan lengkap vaksin dan 4.41 kematian bagi yang mengambil dos penggalak bagi kumpulan pesakit berusia 50 hingga 59 tahun.
Bagi pesakit berusia 60 hingga 69 tahun, data itu mendedahkan kadar kematian adalah sebanyak 116.20 dalam kalangan mereka yang tidak mengambil vaksin, 14.58 dalam kalangan yang telah vaksin lengkap manakala 5.60 bagi mereka yang telah mendapatkan dos penggalak.
Dalam kumpulan usia 70 hingga 79 tahun pula, kadar kematian dicatatkan adalah 74.97 dalam kalangan mereka yang tidak mendapat vaksin, 44.29 bagi mereka yang telah divaksin dan 8.16 bagi mereka yang telah mendapat dos penggalak.
Sementara itu, dalam ciapan itu Khairy berkata berdasarkan data tersebut menunjukkan keberkesanan dos penggalak menghadapi gelombang Omicron.
“Booster memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius Covid-19.
“Berhenti membaca cerita konspirasi sampah di FB. Lindungi diri. Dapatkan dos penggalak,” kata Khairy.
– BERNAMA