Selangor Kini: Hampir 19,000 petugas hadapan di Selangor terima suntikan vaksin
SHAH ALAM, 11 MAC: Seramai 18,679 petugas barisan hadapan di Selangor sudah menerima vaksin Covid-19 setakat Selasa lalu dengan sebilangan besar merupakan petugas perubatan.
Dato’ Menteri Besar berkata jumlah kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang disuntik 18,521 manakala 158 individu lain adalah petugas bukan perubatan.
“Kerajaan jangka jumlah akan terus meningkat selepas kerjasama dengan hospital swasta dalam Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook malam tadi.
Menurutnya laporan pemberian vaksin menunjukkan Gombak mencatat bilangan tertinggi dengan 4,806 telah disuntik.
Ia diikuti Sepang (3,266), Klang (3,186), Hulu Langat (2,838), Petaling (2,282) dan Kuala Langat (881).
“Seramai 545 petugas di Hulu Selangor turut disuntik manakala Sabak Bernam (462) dan Kuala Selangor (413).
“Petugas bukan perubatan menerima vaksin membabitkan kawasan Kuala Langat, Petaling dan Sepang,” katanya.
Pada 25 Februari lalu, Amirudin bersama EXCO Kerajaan Negeri antara 42 individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Shah Alam.
Turut disuntik, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.