Selangor Kini: Dana tambahan RM200 juta bantu kelangsungan operasi syarikat PKS
SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan Negeri menyuntik dana tambahan RM200 juta bagi skim pembiayaan tunai Selangor Advance untuk menyelamatkan pekerja dan kelangsungan operasi syarikat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana disumbangkan melalui simpanan tetap tunai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta anak syarikat Kerajaan Selangor.
“Langkah ini dapat meningkatkan sokongan ekosistem Kerajaan Negeri kerana pelaburan ini akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil sederhana (PKS) dan pelabur.
“Sejak dilaksanakan tahun lalu,sebanyak 300 syarikat industri kecil dan sederhana (PKS) melibatkan 25,000 pekerja berjaya diselamatkan,” katanya ketika membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 hari ini.
Beliau berkata jenis pinjaman ditawarkan antaranya pembiayaan rantaian bekalan atau kontrak am, jaminan bank dan surat jaminan kredit, surat akujanji, surat sokongan, modal pusingan serta pembiayaan bercagaran dan terjamin.
Selangor Advance berkonsepkan Tawarruq diperkenal tahun lalu dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu PKS berdepan kesan ekonomi akibat pandemik.
Terdahulu, Amirudin membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.