Selangor Kini: Dana RM5 juta sedia alatan, bimbingan lonjak potensi peniaga kecil
SHAH ALAM, 25 OKT: Inisiatif Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) dan Pembangunan dan Pemerkasaan Usahawan India Selangor (I-Seed) yang diperkenal mulai 2019 melahirkan ribuan usahawan di negeri ini.
Dua program membabitkan peruntukan lebih RM5 juta itu bertujuan memastikan pembangunan masyarakat India seiring kaum lain hasil kepesatan negeri.
Sitham atau Selangor Inthiyar Tholil Arvalar Maiyam dalam bahasa Tamil terbahagi kepada empat kategori iaitu latihan pembangunan, kursus kemahiran dan pembuatan jangka pendek, bimbingan dan bantuan peralatan.
Dianggar lebih 2,000 peniaga kecil yang dikenal pasti lahir menerusi program yang menyediakan peruntukan RM1 juta setiap tahun.
Bagi yang mahu mengembangkan perniagaan dan memerlukan modal lebih besar, mereka boleh mendapat pembiayaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).
Usaha memperkasa ekonomi kaum India juga dipergiat melalui pelaksanaan I-Seed sejak tahun lalu. Lebih 600 peniaga mendapat manfaat dengan menerima bantuan peralatan.
Sambutan baik itu mendorong Kerajaan Negeri menambah peruntukan RM500,000 menjadikannya RM1.5 juta dibelanjakan tahun ini berbanding RM1 juta pada tahun lalu.
Seperti Sitham, penerima I-Seed yang berhasrat meningkatkan tahap perniagaan mereka juga boleh memohon dana Hijrah Selangor.
Sempena perayaan Deepavali, Kerajaan Negeri turut menawarkan pinjaman i-bermusim Hijrah Selangor menerusi Sitham bagi membantu peniaga bazar Deepavali untuk memohon lesen.
Selain itu, masyarakat India turut mendapat pembelaan menerusi pelbagai inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Iltizam Selangor Sihat.
Siapa layak mohon I-Seed?
- rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun
- individu dan isi rumah pendapatan bawah RM3,000 sebulan
- operasi di Selangor
- perniagaan aktif dan konsisten
- pemohon atau pasangan tidak pernah terima Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor atau Dana Usahawan Mikro Selangor
Siapa layak mohon Sitham?
- peniaga India mastautin lima tahun di Selangor
- umur 18 hingga 55 tahun
Manfaat:
I-Seed
- peserta diberi bantuan alat niaga
Sitham
- latihan pembangunan
- kursus kemahiran dan pembuatan jangka pendek
- bimbingan perniagaan
- bantuan alat perniagaan nilai hingga RM10,000