Salam Maulidur Rasul 1443H
PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1443H
“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Al-Ahzab: 41)
Hari ini, umat Islam seluruh dunia bergembira mengenangkan lahirnya seorang Utusan Allah yang terakhir, Nabi Muhammad S.A.W. Berita kedatangannya telah diceritakan sejak zaman berzaman; tertulis dalam kitab-kitab suci agama terdahulu dan ditunggu-tunggu oleh segenap umat yang beragama semenjak sekian lama.
Muhammad bin Abdullah, begitulah nama putera Quraisy dari Bani Hashim yang sejak remaja begitu dikenali integritinya dengan julukan ‘Al Amin’ yang akhirnya diangkat menjadi Nabi dan Rasul. Dengan pengalaman mengembala kambing sejak kecil, serta semangat aktivisme anak muda yang ditunjukkan dalam persetiaan Hilf Al-Fudhail sehinggalah zaman keusahawanan baginda berniaga di Syam membawa gedung perniagaan CEO wanita Khadijah binti Khuwailid ke gerbang jaya, ternyata warna-warni kehidupan Nabi Muhammad S.A.W menyediakan serta mempersiapkan baginda untuk tugas yang lebih utama, yakni menyampaikan kalimah Tauhid beserta melengkapkan keperibadian (‘makarimul akhlaq’) umat manusia sekaligus hamba kepada Allah Rabbul Jalil.
Berkat usaha baginda menyampaikan dakwah dengan jerih payah selama 23 tahun, akhirnya agama Islam tersebar luas ke seluruh dunia melampaui Kota Mekah dan Madinah Al-Munawwarah. Misi kerasulan baginda ternyata berbeza, kerana baginda tidak diutuskan sekadar untuk kaum Arab, tetapi kerahmatan yang baginda bawa dirasakan getarannya seluruh alam (rahmatan lil a’lamin).
Tidak perlu dinyatakan di sini betapa besarnya pengaruh dan sumbangan agama Islam kepada tamadun dunia. Selain tauhid dan akhlak, agama ini memberi kesan yang besar dalam segenap aspek sama ada dari segi pemikiran, sains dan teknologi mahupun seni dan kesusasteraan.
Dan semuanya mustahil berlaku tanpa pengorbanan seorang Rasulullah bernama Muhammad.
Marilah kita sama-sama berselawat ke atas Junjungan Besar kita. Dalam mengingati jasa dan peranan baginda dalam kehidupan kita, tiada yang lebih baik bagi kita semua mencontohi sebaik. Mungkin keperibadian Nabi Muhammad S.A.W serta mengambil teladan daripada panduan yang baginda ucapkan, tunjukkan serta lakukan.
Allahumma Solli a’la Sayyidina Wa Maulana Muhammad. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1443H.
__
DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
Dato’ Menteri Besar Selangor