Suara

Ucapan
1/1/20
Perayaan

Perutusan Tahun Baru 2020

Selangor menutup tirai tahun 2019 dengan beberapa pencapaian luar biasa. Di peringkat kerajaan negeri, beberapa jabatan berjaya mencapai prestasi 'cemerlang' termasuk sejumlah dua (2) Pejabat Daerah dan Tanah, dua (2) badan berkanun, dua (2) jabatan serta tujuh (7) Pihak Berkuasa Tempatan.

Kesemua 13 jabatan telah menunjukkan gerak kerja yang sangat baik, dan tugas yang dilaksanakan dengan penuh amanah dan berintegriti sehingga kita mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dan kemanisan hasil pelaburan yang tinggi kita peroleh tahun ini--RM16.4 bilion melebihi sasaran RM10 bilion--membuktikan bahawa visi Selangor Negeri Pintar Utama Serantau berada dalam genggaman.

Bahtera Selangor akan berlayar bagi mendepani tahun 2020 dengan penyempurnaan beberapa langkah yang telah dimulakan nakhoda terdahulu.

Dengan tema Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat, beberapa strategi telah digariskan dalam Belanjawan Selangor 2020. Inisiatif lama telah dijajarkan malah diperkasa, seperti Skim Peduli Sihat, Skim Air Darul Ehsan juga Skim Mesra Usia Emas.

Beberapa program inovatif turut diperkenal seperti biasiswa Selangor BITARA, Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) dan banyak lagi--semua dalam rangka untuk memberikan yang terbaik buat rakyat.

Antara langkah terawal dalam beberapa bulan mendatang yang boleh memberi kesan besar dapat dilihat dalam Dasar Kelulusan 100 Hari yang akan mempermudahkan dan menyaksikan "ease of doing business" di Selangor mengekalkan tempat teratas negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia.

Begitulah serba sedikit apa yang akan dapat kita alami nanti.

Marilah kita memandang kehadapan, melangkah bagaikan "bunyanum marsus"; "barisan yang teratur rapi, seolah-olah bangunan yang tersusun kukuh" bagi mencapai "iltizam menjadikan Malaysia sebuah negara terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan" seperti digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Itulah tekad, doa dan harapan kita untuk tahun ini, InsyaAllah. Selamat tahun baru 2020!


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.