Pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025
Alhamdulillah, mengisi sambutan Nuzul al-Quran pagi ini dengan sebuah majlis ilmu yang dimulakan dengan tadarus al-Quran, kuliah Dhuha yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Dato' Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir, Mufti Selangor, bacaan Dalal al-Khairat dan seterusnya pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025.
Festival Turath Islami Selangor kali ini menghadirkan tokoh-tokoh besar seperti Mufti Muhammad Taqi Usmani, Syeikh Mustafa al-Bahyawi, Syeikh Mohammad Akram al-Nadwi, dan ramai lagi. Selain sesi pengajian, festival kali ini diisi dengan 50 sesi ilmu, termasuk bacaan dan kupasan Tafsir Jalalain karangan Al-Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaluddin al-Suyuti. Turut diadakan Munaaqasyah Ilmiah bersama ulama antarabangsa serta Syariah Perdana yang membincangkan pelbagai isu penting dalam dunia Islam.
Festival ini akan berlangsung selama 8 hari, dari 11 hingga 19 Julai 2025 di Majlis Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Seiring dengan festival ini, Negeri Selangor turut menganjurkan Pameran Al-Wahyu yang menampilkan institusi pondok dan pesantren dari Malaysia, Thailand, Indonesia, dan Singapura, selain Pesta Buku Islami Selangor yang bakal menarik minat pencinta ilmu.
Insya-Allah, festival ini adalah satu usaha berterusan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan ilmu Islam terus subur dan berkembang dalam kehidupan umat. Ia juga bakal menjadi peluang keemasan buat rakyat Malaysia dan Nusantara untuk menadah kitab dan menimba ilmu secara langsung di hadapan ulama terbilang.




