Malaysia Dateline: 157,000 dos penggalak secara percuma di Selangor
Selangor melaksanakan pemberian sebanyak 157,000 dos penggalak secara percuma di bawah Program Vaksin Selangor (SelVax) bermula esok.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penduduk di negeri itu berumur 18 tahun dan ke atas yang telah lengkap menerima dua dos vaksin boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir terus (walk-in) ke klinik Selcare berhampiran.
“Senarai klinik Selcare yang terlibat dalam pelaksanaan program SelVax Booster boleh didapati dalam laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinic/ atau melalui aplikasi SELangkah,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, dos penggalak yang diberikan adalah jenis Sinovac, yang sesuai diterima oleh mana-mana individu yang menerima apa jua jenis vaksin sebelum ini.
“Dos ini untuk memberikan imunisasi yang lebih kepada masyarakat…keterbuktian dan keberkesanannya mungkin ada kelebihan masing-masing (bagi setiap jenis vaksin) tapi yang nyata Sinovac juga terbukti mampu mengekang risiko yang lebih parah terhadap mereka yang dijangkiti Covid-19,” katanya.
Amirudin berkata, semua maklumat penerimaan vaksinasi dos penggalak melalui program SelVax Booster akan dihantar oleh klinik terlibat melalui aplikasi MySejahtera.
Dalam masa sama, program itu akan juga dilaksanakan di beberapa lokaliti tertentu berdasarkan permintaan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri di seluruh Selangor.