Kosmo: Vaksin dibeli Selangor diperoleh selewatnya Jun depan
SHAH ALAM – Kerajaan negeri menjangkakan memperoleh dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang dibeli mereka, selewat-lewatnya Jun depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembelian semua vaksin itu dianggap penting bagi membantu kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Kita setakat ini belum menentukan jumlah sebenar vaksin berkenaan namun ia melibatkan kuantiti besar dan kos yang tinggi.
“Jika semuanya berjalan lancar, kita jangka akan memperolehnya seawal Mei atau Jun tahun ini. Pengumuman rasmi mengenai proses agihan vaksi akan dibuat kelak,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Perusahaan Nestle, Seksyen 15 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Eksekutif Nestle Malaysia Berhad, Juan Aranols.
Bulan lalu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri merancang membeli tiga hingga lima juta dos vaksin Covid-19 sebagai tindakan mengawal penularan virus dan memutuskan rangkaian jangkitan di Selangor.
Ketika ditanya mengenai status bekalan dan agihan vaksin Pfizer-BioNTech, Amirudin menegaskan akan menemui Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin hari ini.
“Saya akan jumpa beliau (Khairy) hari ini dengan perbincangan memfokuskan jumlah pengagihan vaksin di seluruh Selangor,” jelasnya.
Semalan, negara menerima sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech dari Belgium sebelum dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan vaksin (PSV).
Konvoi yang membawa vaksin itu dari Advanced Cargo Centre (ACC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kemudiannya tiba PSV Subang Jaya kira-kira pukul 11.40 pagi semalam. -K!ONLINE