Kosmo: Sesi janji temu diberi untuk dos kedua dalam SeLangkah
SHAH ALAM – Penerima vaksin dalam program Vaksin Selangor (SelVAX) akan diberi sesi janji temu di aplikasi SeLangkah untuk menerima dos kedua vaksin Covid-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian janji temu itu bagi mengelak kesesakan di antara penerima vaksin di sesebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah pengurusan kerajaan.
“Saya ambil maklum mengenai kebanjiran orang awam yang mahu ambil vaksin setelah kerajaan negeri benarkan untuk ‘walk-in’ ambil vaksin.
“Dengan memberikan sesi janji temu ini diharap dapat mengatasi apa yang berlaku di beberapa PPV semalam,” katanya selepas membuat lawatan kerja di PPV Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) Mega di UiTM Shah Alam, Selangor hari ini.
Semalam, akhbar melaporkan beberapa PPV di Selangor mengalami kesesakan kerana orang awam mahu menerima vaksin Covid-19.
Ia susulan keputusan Kerajaan Persekutuan dan Selangor yang membenarkan orang ramai mengambil vaksin secara ‘walk-in’ mulai semalam.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan fokus untuk memberikan vaksin kepada remaja yang akan berumur 18 tahun mulai bulan hadapan.- K!ONLINE