Kosmo: Selangor berjaya kutip pendapatan RM2.1billion
SHAH ALAM- Kerajaan Selangor berjaya mengutip hasil pendapatan berjumlah RM2.1 bilion sehingga semalam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah tersebut merupakan kira-kira 95 peratus daripada pendapatan yang telah diunjurkan mereka untuk diperoleh pada tahun ini.
“Ini adalah satu perkembangan yang baik memadangkan hampir keseluruhan bulan pada tahun ini kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Hasil ini dapat dicapai kerana strategi bagi mendigitalisasikan hasil kutipan, baik dari hasil kutipan cukai tanah, bayaran premium tanah dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.
Menurutnya, cukai dan bayaran premium tanah masih lagi menjadi hasil pendapatan utama kepada Selangor dengan kutipan hasil tersebut berjumlah kira-kira RM800 juta hingga RM900 juta.
Kata Amirudin, dua hasil ini memberikan hasil berjumlah RM1 bilion dan berharap angka sama dapat dicapai pada tahun ini.
“Ada tiga buah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah berjaya mengutip 89 peratus cukai tanah dan bayaran premium tanah yang telah disasarkan kerajaan negeri.
“Saya harap PBT lain di seluruh negeri dapat mengikut jejak PBT ini supaya kita dapat gunakan hasil ini untuk perkara yang memanfaatkan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin memberitahu, tiga buah kilang kertas yang bakal dibuka di Kuala Langat akan menambah pendapatan kerajaan negeri kira-kira RM3 hingga RM4 bilion.
“Kilang itu masing-masing melibatkan dua buah syarikat dari China dan satu dari Jepun dengan ini membuktikan Selangor terus menjadi pilihan bagi pelabur luar negara,” katanya. -K! ONLINE