Kosmo: MBSA jadi PBT pertama bina pusat transit warga emas
SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang membina pusat transit khas bagi golongan warga emas.
Kompleks yang menempatkan 12 unit rumah itu akan dibangunkan di Kelab Warga Emas Seksyen 24, Seksyen 24 di sini, bermula awal tahun depan dan dijangka siap pada 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, pembinaan pusat berjumlah RM4 juta itu antara usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya mesra warga emas.
Katanya, rumah transit itu berfungsi sebagai pusat riadah, aktiviti keagamaan dan sosial selain tempat berehat untuk golongan tersebut.
“Pusat itu kelak boleh menempatkan sehingga 100 warga emas dan terbuka kepada semua kaum tanpa sebarang bayaran.
“Selain itu, mereka berpeluang menyertai pelbagai program produktif dan sihat yang diselia sepenuhnya oleh MBSA,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pusat transit itu, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim dan Yang Dipertua Kelab Warga Emas Shah Alam, Datuk Emran Kadir.
Tambah Rodziah, pembinaan pusat transit itu juga sebahagian usaha berterusan MBSA untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan berkonsepkan komuniti kepada warga Shah Alam.
Justeru, beliau menyeru semua PBT di negeri ini supaya turut mencontohi langkah murni seumpama itu bagi menjaga kebajikan warga emas.
Sementara itu, Haris berkata, semua kos pembinaan dan fasiliti pusat tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh MBSA dengan melibatkan dua fasa dengan memakan masa selama 18 bulan.
“Selain itu, kita akan mewujudkan Unit Khas Warga Emas bagi memantau dan menyelia kompleks berkenaan,” katanya. -K!ONLINE