Kosmo: Baik pulih rumah mangsa banjir Selangor disegerakan

SHAH ALAM – Kerja baik pulih 489 rumah mangsa banjir di negeri pada pertengahan Disember tahun lalu akan disegerakan supaya dapat disiapkan sepenuhnya sebelum Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, peruntukkan berkaitannya telah disalurkan menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan 18 buah rumah telah siap dibaikpulih sepenuhnya.
“Ketika ini, sebanyak 280 buah rumah sedang dalam kerja baik pulih selain 26 buah rumah lagi kini dalam proses bina baharu di bawah KPLB.
“Saya berharap semua rumah ini berjaya disiapkan sepenuhnya sebelum Aidilfitri tahun ini,” katanya selepas membuat tinjauan kerja baik pulih dua rumah mangsa banjir di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini hari ini.
Jelas beliau, pihaknya belum menerima sebarang permohonan menambah peruntukkan sedia ada bagi tujuan baik pulih tersebut.
Sementara itu, seorang mangsa banjir, Mislia Sadli, 68, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan pusat dan negeri yang segera membantu menyiapkan kerja baik pulih rumah teresnya.-KOSMO!ONLINE