Kosmo: 50,000 dos disediakan menerusi SelVAX Mobile
KLANG – Sebanyak 50,000 dos vaksin Covid-19 diperuntukkan dalam Program Vaksin Selangor (SelVAX) Mobile yang bermula hari ini di seluruh Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri menyediakan dua buah kenderaan iaitu bas dan van yang akan menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak dalam memastikan imuniti berkelompok terus dicapai di negeri ini.
Katanya, langkah ini dilakukan susulan masih ada komuniti yang belum menerima vaksin sama ada disebabkan masalah teknikal atau tiada kesedaran bagi mendapatkan vaksin.
“Dua buah kenderaan ini mampu memberikan 750 dos vaksin setiap hari. Sekiranya dos vaksin tidak mencukupi, kerajaan negeri sedia membeli vaksin lagi untuk program ini.
“Mereka perlu berdaftar menerusi aplikasi SELangkah dengan hanya perlu ke pejabat wakil rakyat masing-masing untuk memberikan nama,” katanya selepas melawat SelVAX Mobile di Kompleks Pasar Besar Meru, di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, menerusi program ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli Parlimen untuk menjadi tuan rumah serta menyediakan senarai individu yang akan menerima vaksin pada hari program tersebut.
Ujar Siti Mariah, program akan dilaksanakan sekiranya jumlah penerima vaksin sekurang-kurangnya 250 orang.
“Pihak yang panggil SelVAX Mobile perlu ada nama serta jumlah penerima yang akan ambil vaksin bagi mengelakkan pembaziran,” jelasnya. – K! ONLINE