Kosmo: Air Selangor pergiat kerja-kerja penggantian paip
PETALING JAYA – Syarikat Air Selangor (Air Selangor) komited mempergiatkan beberapa inisiatifnya menjelang tahun 2023 dengan tumpuan pada kerja-kerja penggantian paip di lokasi kritikal seperti wilayah Gombak dan Petaling.
Air Selangor berkata, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk program kesedaran pemuliharaan air dalam kalangan orang awam.
“Dengan baki tujuh tahun lagi untuk merealisasikan visi 2030 kami untuk menjadi penyedia perkhidmatan terunggul di Asia, kami juga merekodkan pelbagai pencapaian pada tahun 2022 dari segi operasi dan perjalanan pengalaman pelanggan kami, serta inisiatif berterusan kami dengan komuniti, dalam mengatur langkah syarikat untuk mara ke hadapan pada tahun 2023 dan seterusnya.
“Pada tahun 2022, kami berdepan dengan pelbagai cabaran, bermula dengan fasa endemik Covid-19 pada April hingga pelarasan tarif air untuk pengguna bukan domestik dan kategori khas pada Ogos,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, Air Selangor terus komited untuk memastikan Setiap Titis Bermakna kepada 9.1 juta pengguna kami di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Beberapa pencapaian kami pada tahun lalu adalah termasuk berjaya melaksanakan kerja-kerja penggantian rangkaian paip lama sepanjang 77.2 kilometer (km).
“Selain itu, mencapai Indeks Paip Pecah (PBI) sebanyak 5.35 kes paip pecah setiap 100 km lebih rendah daripada penanda aras antarabangsa PBI sebanyak 13 kes paip pecah setiap 100 km,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu katanya, Air Selangor merancang untuk memberi fokus kepada kecemerlangan operasi melalui kerja-kerja penggantian paip dengan menyiapkan sepanjang 110km dan menumpukan proses penggantian paip usang yang kritikal.
“Rancangan inisiatif bagi tahun 2023 juga meliputi margin rizab air yang mencapai sasaran 19.8 peratus dengan penyiapan Koridor Utara Langat 2 oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada Disember 2023.
“Air Selangor juga mahu menyelesaikan pemulihan empat kolam takungan yang tidak digunakan serta menyelesaikan pemulihan dan naik taraf 10 rumah pam,” tambahnya.
Katanya, dengan semua inisiatif yang dirancang itu, Air Selangor akan terus memacu kemajuan yang telah dibina dan terus komited terhadap usaha pihaknya dengan mengaplikasikan piawaian kecemerlangan tertinggi pada setiap aspek. – KOSMO! ONLINE