Kerana Barisan Hadapan, Kita Boleh Menarik Sedikit Nafas Lega
Saya ingin melahirkan rasa bangga dan ucapkan tahniah buat petugas kesihatan di barisan hadapan yang berjaya menyembuhkan 91 pesakit Covid-19 semalam. Tahniah kepada semua petugas barisan hadapan, doktor di Kementerian Kesihatan (KKM), hospital swasta, pengamal perubatan am (GP) dan semua jururawat.
Mungkin kita melalui tempoh yang panjang, tetapi kami boleh bergantung dengan anda semua.
Pada masa sama, saya yang juga selaku ketua pasukan petugas Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor berharap semoga musibah kali ini membuatkan umat Islam insaf. Semoga kita sedar betapa kerdilnya keupayaan dan sedikitnya ilmu yang Allah berikan kepada kita agar kita benar-benar kembali kepadaNya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan jumlah pesakit sembuh dari penyakit Covid-19 terus meningkat kepada 91 menjadikan jumlah keseluruhan sehingga petang ini ialah 479. Ia adalah jumlah tertinggi setakat ini iaitu 18.2 peratus dari jumlah kes.
Shah Alam
31 Mac 2020