Media

COVID-19
11/6/20
Isu
Selangor

Kenyataan Media: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Selangor

Kenyataan Media
11 Jun 2020

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang secara rasmi bermula semalam sehingga 31 Ogos 2020 sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, saya dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah bersidang bersama-sama Datuk Bandar dan Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pegawai-pegawai Daerah seluruh Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor telah memutuskan bahawa sebarang bentuk aktiviti di Selangor mencakupi sektor ekonomi, sosial dan rekreasi perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sebagaimana yang telah digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerajaan Negeri turut membuat ketetapan untuk membenarkan kelas muzik dan kelas seni beroperasi di Selangor. Kerajaan Negeri turut membenarkan aktiviti pendakian (hiking) dengan satu-satu kumpulan tidak melebihi tiga (3) orang di samping mematuhi penjarakan sosial.

Kerajaan Negeri turut mengingatkan kepentingan untuk mengimbas kod QR dengan sistem SELangkah sebelum memasuki setiap premis, pemakaian pelitup muka dan mengamalkan tatacara kebersihan seperti mencuci tangan dengan kerap.

Bagi operasi pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria yang akan bermula secara berperingkat mulai 15 Jun 2020, SOP MKN akan kekal menjadi rujukan teras bagi tujuan pelaksanaan dan penguatkuasaan.  Namun, ia akan disesuaikan dan diselaraskan oleh PBT masing-masing mengikut piawaian yang sesuai dan strategik berdasarkan kondisi kawasan masing-masing.

Kerajaan Negeri bertegas dan tidak akan teragak-agak untuk menutup mana-mana premis atau kawasan yang berisiko sekiranya pematuhan SOP gagal dipatuhi sepenuhnya oleh mana-mana pihak.

__

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor


Muat turun kenyataan media di sini

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.