Kenyataan Media: Langkah-langkah Pemulihan Ekonomi
Kenyataan Media
18 Jun 2020
Kerajaan Negeri Selangor ingin memaklumkan beberapa keputusan terbaru berkenaan langkah-langkah pemulihan ekonomi akibat pandemik COVID-19 serta membantu mereka yang terkesan dengan wabak tersebut:
1. Pelanjutan tempoh pembayaran premium tanah
Bagi merancakkan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan, Kerajaan Negeri bersetuju melanjutkan tempoh pembayaran premium tanah bagi notis-notis yang telah tamat tempoh bayaran dari 1 Januari 2020 sehingga 9 Jun 2020 dilanjutkan tempoh bayaran sehingga 30 September 2020. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberikan insentif seperti pembayaran premium tanah secara ansuran selama enam (6) bulan sehingga 31 Mac 2021 kepada notis 5A dan 7G yang belum tamat tempoh dengan syarat yang ditetapkan. Diharapkan inisiatif ini dapat meringankan tekanan ekonomi pemaju dan para pelabur.
2. Pelanjutan pengecualian sewa untuk para peniaga/penyewa premis milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Tambahan dari pengecualian sewa selama sebulan yang telah diberikan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin untuk bulan April 2020, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melanjutkan lagi pengecualian sewa bulanan kepada peniaga/penyewa milik PBT selama satu (1) bulan untuk bulan Mei 2020 tertakluk kepada syarat yang sama untuk pengecualian bulan April 2020.
3. Memudahcara mahasiswa Selangor di luar negara
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan akan memberikan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk program Bakul Makanan khusus untuk pelajar-pelajar Selangor yang terkandas di Mesir akibat Covid-19. Dianggarkan terdapat kira-kira 600 pelajar yang terkesan dan akan diteliti perkembangan mereka dari hari ke hari. Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya selepas ini.
Pada masa yang sama, susulan daripada kunjungan hormat kepada Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein di Wisma Putra tempohari, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Wisma Putra untuk memantau keadaan di negara yang mempunyai mahasiswa tajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri menghargai kesediaan Wisma Putra untuk membantu sekiranya situasi tersebut memerlukan tindakan lanjut daripada Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri kini dalam peringkat terakhir untuk merumuskan pelan pemulihan ekonomi negeri yang dijangka akan diumumkan menjelang Julai 2020.
Sebarang perkembangan terbaharu akan dikemaskini dari masa ke masa melalui laman web amirudinshari.com
YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor