Kenyataan Media dan Perincian SOP E-Kitchen Selangor
Assalamualaikum dan salam sejahtera warga Selangor sekalian,
Saya baharu sahaja membuat mengumuman SOP bagi pelaksanaan 'E-Kitchen Selangor'. Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan Kerajaan Negeri akan memastikan semua kriteria dipatuhi. SOP ini adalah selari dengan pematuhan SOP dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kerajaan Negeri Selangor telah mengenalpasti 77 pusat pengumpulan (distribution centre) yang terdiri daripada 10 dewan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh Selangor. Juadah tersebut akan dihantar oleh rakan penghantar seperti GRAB, BungkusIt, Mr.Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.
Kesemua pusat ini akan mematuhi penjarakan sosial dan amalan kebersihan yang ketat sementara peniaga telah dipastikan mendapat suntikan pelalian typhoid seperti yang digariskan dalam SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PBT.
Sehubungan dengan pengumuman ini, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan penyertaan wakil 'e-hailing' yang lain serta pemilik dewan atau fasiliti yang bersesuaian untuk pelaksanaan PLATS yang diumumkan ini untuk menghubungi HIJRAH, PLATS atau GRAB.
Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa konsep ‘e-kitchen’ ini hanya berfungsi sebagai pusat pengumpulan sahaja.
Tiada sebarang aktiviti memasak akan dibuat di pusat pengumpulan tersebut dan sebarang bentuk pembelian secara Walk-in juga tidak dibenarkan.
Bagi menggalakkan lagi penyertaan peniaga ke dalam program ini dan meringankan beban kewangan mereka, Kerajaan Negeri juga berbesar hati untuk menawarkan pembiayaan mudah tanpa faedah kepada para peniaga kecil yang layak dengan pembiayaan sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 melalui HIJRAH Selangor. Kerajaan Negeri turut menyediakan Insentif Digitalisasi sebanyak RM600,000 bagi menggalakkan para peniaga menyertai program ini.
Saya yakin dan percaya di dalam setiap krisis wujud peluang untuk kita menjadi lebih baik. Inisiatif Digitalisasi Selangor melalui PLATS ini adalah 'game-changer' bagi membantu kita mengharungi norma kehidupan yang baru ini. Negeri Selangor akan menjadi peneraju yang merintis jalan kemajuan ini.
Sila semak infografik dan perincian untuk maklumat lanjut.
Kenyataan media mengenai insiatif dan SOP E-Kitchen boleh dimuat turun di sini.
#SelangorGempurCovid19