"Jangan keluar rumah, batal hasrat balik kampung" - Titah Agong
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua rakyat supaya patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan.
Baginda bertitah, semua rakyat perlu berada di rumah dan membatalkan hasrat untuk pulang ke kampung, jika tiada keperluan.
"Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ingin mengajak supaya rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.
"Jangan keluar rumah jika tiada keperluan penting dan saya juga meminta supaya batalkan hasrat untuk pulang ke kampung," titah baginda.
Baginda bertitah demikian menerusi Titah Diraja Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan di stesen televisyen malam ini.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat supaya tidak berkumpul atau menghadiri sebarang aktiviti sosial di luar rumah.
Malah, baginda menasihatkan rakyat supaya tidak panik kerana bekalan barang keperluan dijamin kerajaan mencukupi.
"Kepada ibu bapa pengantin, saya nasihatkan tangguhkan dulu majlis kenduri sehingga keadaan beransur pulih.
"Rakyat jangan suka menyebar berita palsu dan yang paling penting jaga kebersihan diri. Kerap basuh tangan, guna 'hand sanitizer' serta pakai topeng muka dan amalkan jarak sosial.
"Marilah kita bersama memainkan peranan membantu membendung wabak ini," titah baginda.