Inisiatif

COVID-19
4/5/20
Isu
Selangor

Inisiatif SELangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat

Kenyataan Media
4 Mei 2020

Inisiatif SELangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat

Dengan PKPBD yang bermula hari ini, Kerajaan Negeri bersedia dengan pergerakan masyarakat yang lebih tinggi, seiring dengan pengoperasian semula beberapa sektor ekonomi.

Bagi memperkukuh kesiapsiagaan entiti perniagaan dan melengkapi ikhtiar Penjejakan Kontak (Contact Tracing) oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif SELangkah: sistem pendaftaran keluar-masuk di premis-premis kerajaan, perniagaan dan individu.

Konsep inisiatif SELangkah – Langkah Masuk Dengan Selamat – adalah untuk mengautomasi pendaftaran individu yang memasuki sesuatu premis, dengan mudah dan pantas. Inisiatif ini mempunyai 3 objektif serampang :

           “Melindungi premis perniagaan,

           “Melindungi pelanggan

           “Membantu pasukan baris hadapan”

Para pemilik premis adalah diminta untuk mencetak sendiri dan mempamer Kod QR bagi premis masing-masing melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my yang boleh dicapai bermula 5 Mei 2020 (Selasa). Kebanyakan premis perniagaan telahpun didaftarkan, manakala sekiranya belum – para pemilik premis boleh melakukan “self-registration” di portal tersebut.

Para pengunjung premis pula diminta untuk mengimbas poster kod QR tersebut, menggunakan fungsi kamera di telefon bimbit, sama ada sebelum memasuki premis ataupun semasa membuat bayaran, bergantung kepada olah atur pemilik premis masing-masing.

Log lawatan pengunjung premis ini akan dikawal selia oleh pentadbiran Kerajaan Negeri, dan diaktifkan oleh pegawai kesihatan awam sekiranya terdapat insiden Covid-19 dilaporkan di premis tersebut (seperti di pasaraya, kedai runcit, pasar borong, dan lain-lain). Melalui inisiatif ini, semua pengunjung ke premis terlibat dapat dikesan dan dihubungi dengan mudah dan pantas.

Amalan pendaftaran pengunjung sudah merupakan suatu kelaziman yang kita amalkan sehari-sehari apabila melawati rakan taulan kita di sesuatu kondominium, ataupun apabila menghadiri mesyuarat atau kursus.  

Inisiatif SELangkah mengolah suai amalan lazim ini, sebagai kaedah bagi kawalan wabak Covid-19. Dengan SELangkah, kaedah penggunaan buku pendaftaran manual ini diubah kepada automatik, sekaligus meningkatkan kepantasan, dan kecekapan pendaftaran pengunjung di premis-premis awam dan perniagaan.

Adalah diharapkan inisiatif SELangkah ini dapat membentuk norma baharu bagi kegiatan ekonomi semasa fasa PKPBD, sepertimana yang diamalkan di negara-negara yang mempunyai amalan penjagaan terbaik seperti di Korea Selatan. Kawalan wabak Covid19 cuma akan berkesan apabila kesemua pihak memainkan peranan, daripada orang ramai dan juga komuniti perniagaan. Sesungguhnya kesihatan adalah urusan semua (health is everyone business).

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

Muat turun kenyataan media di sini



Soalan-soalan Lazim SELangkah

  1. Apakah inisiatif SELangkah ini?
    Jawapan: SELangkah - "Langkah masuk dengan selamat" diwujudkan bagi memastikan kesiapsiagaan entiti perniagaan dan industri sepanjang aktiviti perniagaan berlangsung.

    SELangkah - merupakan sistem pendaftaran keluar-masuk automatik di premis-premis perniagaan menggunakan teknologi Kod QR yang rinkas.

    Ini adalah sejajar dengan seruan YAB PM semasa sidang akhbar khas 1 Mei yang menggesa agar peniaga-peniaga mendaftar rekod kehadiran pengunjung ke premis mereka.
  2. Apakah objektif inisiatif SELangkah ini?
    Jawapan: Inisiatif ini mempunyai 3 objektif serampang:
    • Melindungi premis perniagaan
    • Melindungi pelanggan
    • Membantu pasukan baris hadapan
  3. Bagaimanakah inisiatif ini akan membantu usaha-usaha pengesanan kontak oleh Jabatan Kesihatan?
    Jawapan: SELangkah bakal melengkapi ikhtiar Pengesanan Kontak (Contact Tracing) oleh Jabatan Kesihatan Negeri, terutamanya apabila terdapat kes-kes yang dikesan di premis perniagaan (cth: pasar awam, pasaraya, dan kedai-kedai runcit).

    Dengan sistem SELangkah, pihak Kesihatan dapat serta-merta mengidentifikasi pelanggan-pelanggan lain yang mungkin terdedah kepada kes COVID-19 semasa menjalankan urusan jual-beli, supaya saringan dan ujian dapat dijalankan lebih awal.
  4. Apakah ini kaedah baharu? atau kaedah yang telah lazim digunakan?
    Jawapan: Praktis pendaftaran pengunjung sudah merupakan suatu kelaziman yang kita amalkan sehari-sehari apabila melawati rakan taulan kita di sesuatu kondominium, ataupun apabila menghadiri mesyuarat atau kursus.

    Inisiatif SELangkah mengolah suai amalan lazim ini, sebagai kaedah bagi kawalan wabak COVID-19.

    Dengan SELangkah, kaedah buku pendaftaran manual ini diubah kepada kaedah automatik, sekaligus meningkatkan kepantasan, dan efsiensi pendaftaran di premis-premis awam dan perniagaan.
  5. Apakah peranan peniaga/pemilik premis bagi mendokong inisiatif SELangkah ini?
    Jawapan: Para pemilik premis adalah diminta untuk mencetak sendiri dan mempamer Kod QR bagi premis masing-masing melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my yang boleh dicapai bermula 4 Mei 2020. Kebanyakan premis perniagaan telahpun didaftarkan, manakala sekiranya belum - para pemilik premis boleh melakukan "self-registration" di portal tersebut.
  6. Apakah peranan pengunjung/pelanggan premis pula?
    Jawapan: Para pengunjung premis pula diminta untuk mengimbas poster kod QR tersebut, menggunkan fungsi kamera di telefon bimbit, samada sebelum memasuki premis ataupun semasa membuat bayaran, bergantung kepada olah atur pemilik premis masing-masing.
  7. Apakah data yang akan disimpan melalui inisiatif SELangkah ini?
    Jawapan: Data yang akan disimpan hanyalah (tarikh dan masa) pengunjung di sesuatu kedai/premis, dan juga nombor telefon. Ini akan membentuk log kehadiran bagi sesuatu premis.
  8. Bilakah log kehadiran ini akan digunakan?
    Jawapan: Sekiranya terdapat kes COVID-19 dikesan di premis perniagaan tersebut, log kehadiran ini akan diaktifkan oleh pegawai kesihatan Awam, bagi memudahkan tujuan menghubungi pelanggan-pelanggan lain yang berkemungkinan terdedah kepada risiko jangktan COVID-19.
  9. Bagaimana SELangkah berbeza dengan penyelesaian pengesanan kontak melalui aplikasi mobil yang lain?
    Jawapan: Terdapat beberapa aplikasi mobil yang sedia ada disediakan (contohnya, MySejahtera, MyTrace) bagi memudahkan urusan Contact Tracing. SELangkah menggalakkan semua rakyat memuat turun aplikasi-aplikasi tersebut.

    SELangkah merupakan sebuat ikhtiar yang akan melengkapkan/komplimentari kepada kaedah-kaedah di atas, terutamanya kepada mereka yang mempunyai telefon bimbit yang tidak sesuai bagi aplikasi mobil, dalam keadaan kehausan bateri, ataupun golongan yang bukan merupakan penduduk tetap.

    SELangkah menggunakan teknologi kod QR, yang universal dan boleh digunapakai oleh telefon bimbit dengan sistem pengoperasian iOS ataupun Android.

    SELangkah juga merupakan penyelesaian yang berpusatkan premis (premis-centric) berbanding individu (individual-centric), dan hanya menyimpan log kehadiran semasa urusan lawatan/jual-beli.
  10. Dimana saya boleh mendapat meklumat lanjut?
    Jawapan: Maklumat lanjut boleh didapati di laman www.selangkah.mbiselangor.com.my atau www.selangkah.my
  11. Entiti mana yang mengurus dan mengawal selia platform SELangkah?
    Jawapan: Platform SELangkah diurus dan dikawal selia bersama oleh Kerajaan Negeri Selangor dan juga pihak berkuasa tempatan.



Contoh Poster


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.