Hasil padi di Sekinchan
Hasil padi di Sekinchan merupakan yang tertinggi dalam negara. Setiap hektar menghasilkan 12 tan berbanding negeri lain sekitar 4 tan. Selangor menerapkan pelbagai teknologi dan teknik terkini bagi memastikan hasil yang terbaik.
Selain faktor tanaman lima musim dalam dua tahun berbanding empat musim di negeri lain, SOP penanaman juga rapi. Majoriti pesawah Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak.
Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) juga turut diterapkan bagi meningkatkan hasil tuaian. Infrastruktur sawah khususnya pengairan berkesan menjadi kelebihan Sekinchan untuk menghasilkan padi yang lebih baik.
Penanaman secara mencedung (transplanter) juga dilakukan iaitu benih padi disemai terlebih dahulu di tapak semaian. Apabila anak padi mencapai tahap sesuai, lantas ditanam menggunakan jentera. Kaedah moden ini lebih baik untuk tumbesaran padi.
Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian serius membangunkan industri tani selari dengan perkembangan zaman. Selain bermanfaat untuk para petani, rakyat serta negeri turut mendapat manfaatnya.