Harian Metro: Selangor sedia RM500,000 beli lambakan pertanian
SHAH ALAM: Kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk membeli lambakan hasil pertanian di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi Program Agro Prihatin Selangor itu, urusan pembelian akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Selangor, FAMA serta seluruh jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Pertanian & Perladangan dan Industri Asas Tani.
"PKPS akan membeli hasil berkenaan pada harga yang bersesuaian seterusnya akan menjual semula kepada orang ramai pada kadar diskaun sehingga 50 peratus.
"Terdapat 12 lokasi jualan yang ditetapkan iaitu di Wisma PKPS Shah Alam, Pusat Operasi PKPS Meru, Pick Up Point PKPS Seksyen 7, Outlet PKPS Seksyen 9, Pusat Operasi Agrosel Bangi, Pusat Operasi Tanjung 12 Kuala Langat, pusat Operasi Selangor Fruit Valley, Gombak dan Kuala Selangor, Pusat Operasi Pandan serta tiga Selangor Agro Market (SAM) di Pusat Operasi FAMA di Dengkil, Puchong dan Kelana Jaya," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, program pembelian hasil lambakan pertanian itu mula dilaksanakan pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan pihaknya lebih bersedia untuk pelaksanaan kali ini.
Katanya, peruntukan berkenaan akan membolehkan hasil pertanian diletakkan semula ke pasaran terutamanya di kawasan padat penduduk yang mana permintaan terhadap hasil pertanian tinggi.
"Petani yang mempunyai lambakan hasil pertanian boleh menghubungi talian hotline 019-3162400 dan kita akan aturkan pembelian mengikut daerah serta pasaran setempat," katanya.
Amirudin berkata, program berkenaan hanya untuk hasil pertanian di Selangor dan bukan hasil pertanian yang dibeli dari negeri lain yang kemudian tidak terjual.
"Kita akan membuat semakan sebelum membeli untuk memastikan hasil pertanian itu memang dari Selangor," katanya.