Suara

Terkini
5/3/24
Selangor
KDNK
Isu

Harian Metro: PKNS masih untung - Amirudin

Shah Alam: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menolak dakwaan prestasi kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kurang baik.

Menurutnya, PKNS juga tidak menanggung hutang RM5.7 bilion seperti didakwa sesetengah pihak dan masih memperoleh keuntungan daripada pendapatan utama operasinya.

"Aliran tunai PKNS juga berada pada tahap yang lebih baik, mampu membayar semua liabiliti perbadanan itu berdasarkan operasi dan bukannya daripada pendapatan sukuk atau pinjaman yang dibuat.

"Sumber pendapatan PKNS dari 2018 hingga 2022 adalah daripada jualan bangunan, penjualan tanah dan penswastaan, manakala pendapatan utama PKNS pada tahun itu adalah daripada penjualan tanah yang berjumlah kira-kira 60 hingga 80 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini, menjawab soalan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) berhubung kedudukan kewangan PKNS.

Mohamed Azmin meminta penjelasan kerajaan negeri selepas PKNS menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dengan nilai RM270 juta.

Azmin juga memetik laporan daripada kertas perniagaan The Edge pada 29 Februari yang mengatakan pemaju hartanah Tropicana Corp Bhd memperoleh sebidang tanah pajakan di Kota Damansara dengan harga RM224 juta.

Menjawab itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua itu berkata, keputusan menjual hak pembangunan PJ Sentral adalah untuk keluar daripada 'perangkap aliran tunai'.

"Pengalaman kami bekerja dengan sektor swasta, tidak semuanya mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan. Saya ambil contoh, kawasan yang kita bangunkan dengan sebuah syarikat di Tropicana.

"Kita boleh lihat kos pembangunan di sana bernilai berbilion ringgit tetapi nilai kerjasama yang kita dapat adalah sekitar RM160 juta daripada nilai pembangunan di Kota Damansara. Jadi kita tidak mahu lagi ada perjanjian seperti itu.

"Kami tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini kepada PJ Sentral dan terjebak dalam perangkap aliran tunai, yang akhirnya memberi kesan kepada kedudukan kewangan PKNS," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.