Suara

Peristiwa
13/7/23
Selangor
Perhimpunan

Harian Metro: PH guna slogan 'Kita Selangor' -PRN

Shah Alam: Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan slogan 'Kita Selangor' sebagai tawaran kepada rakyat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, 'Kita Selangor' membawa mesej penting dan tersendiri kepada rakyat negeri itu dan digunakan secara meluas dalam program serta inisiatif yang dilaksanakan kerajaan sejak diperkenal semasa pandemik Covid-19 melanda negara.

Beliau berkata, slogan yang membawa aspirasi rakyat Selangor yang sentiasa bersatu padu dalam apa jua keadaan itu akan ditambah dengan perkataan atau ayat tertentu bagi disesuaikan dengan semangat dalam berpilihan raya.

"Untuk PRN ini, PH akan mengekalkan semangat atau tagline (slogan) 'Kita Selangor' yang saya perkenalkan dan menjadi aspirasi kepada kerajaan dan rakyat negeri ini semasa berhadapan pandemik Covid-19 serta beberapa cabaran lain seperti kegawatan ekonomi dan bencana banjir.

"Bagi PH, 'Kita Selangor' itu sudah sarat dengan pengalaman, rekod perkhidmatan dan ia adalah realiti yang diterima secara nyata oleh rakyat ketika ini," katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor mempunyai 56 kerusi dan kedudukan kerusi sebelum Dun dibubarkan pada 23 Jun lepas ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi iaitu Dun Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan Dun melebihi enam bulan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.