Gangguan Air Akibat Pencemaran Sungai
KENYATAAN MEDIA
4 SEPTEMBER 2020
Sejak kira-kira jam 10:00 pagi semalam, saluran air ke rumah, premis perniagaan dan kawasan lain di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terhenti. Penghentian ini tidak berjadual kerana melibatkan sebuah premis kilang yang disyaki melepaskan bahan pelarut ataupun solvent ke dalam Sungai Gong. Ini telah memaksa stesen air mentah untuk ditutup operasinya.
Sungai Gong adalah anak sungai kepada Sungai Sembah, yang merupakan sungai utama Sungai Selangor. Air dari Sungai Selangor kemudian dirawat di Loji Rawatan Air Rantau Panjang, jarak 17km dari Sungai Selangor.
Kemudian, pencemaran bau sebanyak bacaan kadar 3 TON (Nombor Bau Nilai Ambang atau Threshold Odour Number) dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.
(TON adalah satu kiraan untuk mengukur kadar bau. Loji Rawatan Air hanya boleh mengeluarkan air tanpa bau dengan nilai TON sifar)
Sejak insiden ini dikesan, Unit Bencana dan agensi terlibat khususnya Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor telah bekerja tanpa henti dengan mengambil beberapa tindakan:
i) Pencairan air di Sungai Gong dengan pelepasan air melalui beberapa sumber. Antaranya sebanyak anggaran 1,882 juta liter sehari (jlh) yang merangkumi:
- 582 juta liter sehari (jlh) dari Hybrid Off-River Augmentation System (HORAS 600).
- 500 juta liter sehari (jlh) dari empangan Sungai Selangor.
- 800 juta liter sehari (jlh) dari empangan Sungai Tinggi.
ii) Usaha ‘flushing’ air yang tercemar ke hilir sungai melalui pembukaan pintu Baraj 3 dan 5 di Intake Sungai Selangor Fasa 1.
iii) 250 kg serbuk arang ataupun Activated Carbon telah diletak di kawasan-kawasan yang terdapat kesan bau serta premis kilang yang terbabit.
iv) Penyitaan premis kilang, pengenaan kompaun serta pembukaan kertas pendakwaan dengan serta-merta.
Sehingga kini, sebanyak 78 lori tangki, 22 lori tangki jumbo, 54 tangki statik, 18 pusat khidmat setempat, 8 pili air awam serta 23,000 botol air minuman 5 liter telah diagihkan dan telah dikerah bagi membantu mereka yang terjejas.
Keutamaan Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan saluran air dikembalikan kepada rumah dan premis perniagaan secepat mungkin.
Setiap Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor, dan Ahli-ahli Majlis digesa untuk turun ke kawasan-kawasan terjejas sebagai frontliner dalam menghadapi gangguan air ini.
Keperluan rakyat perlu diutamakan.
Tindakan lebih keras melalui proses undang-undang akan diambil ke atas pihak yang telah menyebabkan insiden ini.
Kita tidak akan berkompromi.
YAB Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor