Inisiatif

Peristiwa
16/3/22
Isu
Selangor
Banjir

BHTV: Selangor mula kajian ramal banjir

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sudah memulakan kajian bentuk muka bumi atau topografi bagi mendapatkan data taburan hujan yang tepat, sekali gus menangani masalah banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur negeri, Ir Izham Hashim, berkata kajian berkenaan adalah sebahagian daripada Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang kini dilaksanakan di Selangor dan sedang memasuki fasa kedua.

"Fenomena banjir baru-baru ini, Disember 2021 memerlukan kita buat pemprofilan atau kajian topografi di seluruh kawasan sungai serta muka bumi kerana taburan hujan kini berlaku di merata tempat. Apabila ada kajian topografi, kita boleh membuat simulasi, seterusnya melihat aliran air atau banjir akan berlaku di kawasan mana.

"Tanpa data dan maklumat topografi yang tepat pada permukaan bumi, kita tidak berupaya buat simulasi. Proses ini bukan mudah tetapi sudah dimulakan agar kita dapat buat simulasi dan hebahan tepat serta awal," katanya menjawab soalan tambahan Lau Weng San (PH-Banting) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, Izham berkata, PRAB sebelum ini tidak digunakan di Selangor dan hanya dilaksanakan di negeri Pantai Timur, namun banjir besar pada Disember lalu menyebabkan pelaksanaannya di negeri ini dipercepatkan.

"PRAB sangat berkesan yang mana ia boleh mengesan banjir dalam tempoh tujuh hari dan memberikan amaran dua hari sebelum bencana itu yang mana ia melibatkan pengesanan, meramal, amaran serta hebahan," katanya.

Dalam pada itu, Izham turut memaklumkan, penyelesaian tuntas kepada masalah banjir di negeri ini memerlukan kos yang tinggi melebihi RM7 bilion dan kerajaan negeri sedang memikirkan kaedah untuk mendapatkan dana terbabit termasuk dengan kerjasama kerajaan Persekutuan.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.