BHTV: Polis sentiasa pantau warga asing di PPV
KUALA LUMPUR: Polis sentiasa memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam kalangan warga asing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata tindakan itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa terutama di PPV sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Semua Ketua Polis Negeri sudah ambil maklum mengenai tindakan pemantauan dan kawalan PPV bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kesesakan warga asing.
"Untuk maklumat lanjut, boleh dapatkan maklumat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) berkaitan," katanya pada BH, hari ini.
Sebelum ini, polis mengesahkan berlaku kesesakan warga asing di PPV Menara Berkembar Petronas (KLCC) seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah dipetik berkata, kesesakan itu disebabkan beberapa majikan menghantar pekerja mereka ke PPV berkenaan.
Rakaman berdurasi 26 saat tular di media sosial menunjukkan warga asing beratur panjang di luar bangunan sehingga berlaku kesesakan.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap penularan jangkitan COVID-19.