BH TV: Selangor tetap mahu Jajaran Selatan ECRL
SHAH ALAM: Selangor kekal dengan pendirian supaya Jajaran Selatan (Hulu Langat-Sepang-Westport) dipilih bagi pelaksanaan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun kedua-dua jajaran, Selatan dan Utara mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing namun perincian Jajaran Selatan sudah lengkap sepenuhnya.
"Jajaran yang dicadangkan sudah terperinci dan lengkap sepenuhnya malah ia sudah dibawa dalam perbincangan akhir pada 2019.
"Jajaran Utara (Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang) yang dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan sebelum ini pula, masih belum lengkap terutamanya isu pemindahan penduduk setempat dan pengambilan tanah.
"Minggu lalu, Kementerian Pengangkutan membawa segala kajian mereka bagaimana Jajaran Utara akan dilaksanakan sedangkan Jajaran Selatan sudah lengkap sepenuhnya di mana semua perkara sudah diambil kira," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali bahawa kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM1.25 juta sehari ekoran keputusan kerajaan Selangor menangguhkan persetujuan penjajaran semula projek ECRL, Isnin lalu.
Bagaimanapun, Amirudin berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan berhubung perkara terbabit.
"Kerajaan negeri tiada masalah berbincang semula kerana perbincangan masih dibuka, cuma setakat ini pendirian kerajaan negeri kekal dengan Jajaran Selatan.
"Kerajaan negeri memilih Jajaran Selatan sebab kita menganggap dengan pelan rancangan pelabuhan ke tiga di Pulau Carey yang sudah dibincangkan dapat dilaksanakan..ia akan memberikan kemampuan dan peluang ekonomi yang jitu kepada kerajaan negeri berbanding Jajaran Utara.
"Jajaran Utara juga akan melintasi Sungai Selangor yang memberi perkhidmatan 60 peratus daripada 1.4 juta pemilik akaun di Selangor dan Kuala Lumpur, kita bimbang gangguan kepada kawasan tadahan air di sekitar Lembangan Sungai Selangor yang beri kesan pada pengguna," katanya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan Surat Tawaran Biasiswa Khas Datuk Menteri Besar & Biasiswa Selangor Bitara di Bilik Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), di SUK di sini hari ini.
Mengulas mengenai majlis, katanya, pelajar perubatan, Emir Haady Imran Zulkharnain adalah anak Selangor pertama yang ditawarkan Biasiswa Selangor Bitara.
"Emir Haady melakar sejarah sebagai pelajar termuda yang diterima masuk ke Royal College of Surgeons, Ireland (RSCI) iaitu pada usia 16 tahun.
"Dia memulakan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di RSCI pada 2019 dan dijangkakan menamatkan pengajian seawal usia 20 tahun.
"Sehubungan itu, kerajaan Selangor berbesar hati menawarkan Biasiswa Selangor Bitara berjumlah RM1.1 juta kepada Emir Haady sebagai pengiktirafan kepada pencapaian luar biasa beliau," katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut meraikan empat mahasiswa cemerlang Selangor Jordan yang ditawarkan Biasiswa Khas Datuk Menteri Besar yang diperkenalkan di bawah program Peduli Siswa Timur.